SHAH ALAM, 18 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berhasrat untuk mengambil tindakan terhadap beberapa Ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berbeza pandangan dengan beliau dan parti dalam beberapa isu.
Ketua Penerangan PKR Datuk Fahmi Fadzil berkata malah Anwar selaku Presiden parti turut meminta ketua-ketua cabang serta anggota PKR yang lain supaya menghormati pandangan yang diberikan beberapa wakil rakyat tersebut dan bersama bergerak ke hadapan mengukuhkan kekuatan parti.
“Perdana Menteri telah menyatakan bahawa bagi beberapa orang Ahli Parlimen yang berbeza pandangan dalam beberapa isu, beliau tidak berhasrat untuk mengambil sebarang tindakan.
“Mereka berhak untuk menyatakan pandangan masing-masing dan Perdana Menteri telah meminta ketua-ketua cabang dan anggota faham perkara ini dan terus melangkah ke hadapan (move on),” katanya.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi perjumpaan Presiden PKR bersama pimpinan PKR Selangor di sini hari ini.
Fahmi berkata Anwar turut mengingatkan ketua-ketua cabang yang menang dalam pemilihan parti baru-baru ini agar merangkul semua kekuatan dalam proses melantik ahli jawatankuasa di peringkat cabang masing-masing.
“Maksudnya walaupun daripada kumpulan yang tewas ataupun bukan daripada kelompok mereka, setiap daripada mereka perlu disatukan sebagai satu pasukan demi kekuatan parti secara keseluruhan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata Anwar memaklumkan bahawa pelantikan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri akan dibuat sebelum hujung bulan ini dan mengarahkan jentera parti supaya segera bergerak dan turun ke lapangan menambah kekuatan parti bermula Ogos.
Dalam sesi pertemuan itu katanya Anwar turut menjelaskan tentang tohmahan dan fitnah yang dimainkan berhubung pelantikan Ketua Hakim Negara.
Perdana Menteri menjelaskan pelantikan dibuat mengikut proses yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan senarai nama yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong serta Majlis Raja-Raja adalah sebagaimana yang disediakan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).
“Maksudnya Perdana Menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong setelah berbincang dengan Majlis Raja-Raja. Perdana Menteri telah menuruti proses seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Jadi tidak timbul isu dan perkara yang berlegar akhirnya terjawab,” katanya sambil menambah Perdana Menteri menjelaskan beliau juga tidak pernah memecat mana-mana Ketua Hakim seperti yang pernah berlaku di bawah Perdana Menteri terdahulu.
Selain itu, Anwar turut memaklumkan bahawa beliau menerima baik setiap teguran yang dibuat oleh badan-badan berkaitan seperti Majlis Peguam dan Bersih berhubung isu pelantikan Ketua Hakim Negara.
"Bagi Perdana Menteri, yang paling penting institusi kehakiman kekal bebas dan tidak dicemari pihak dari luar sama ada pihak legislatif mahupun eksekutif," kata Fahmi.
Terdahulu, sesi pertemuan tertutup pimpinan PKR Selangor bersama Presiden PKR itu berlangsung hampir satu jam, dihadiri beberapa pimpinan tertinggi parti termasuk Naib Presiden Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Menteri Besar Selangor, Naib Presiden Datuk Seri R. Ramanan, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Muhammad Kamil Abdul Munim dan Ketua Wanita Fadhlina Sidek.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial