EKONOMI

Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan Malaysia Meningkat 1.0 Peratus Pada Suku Ketiga - DOSM

06/11/2025 03:49 PM

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Perkhidmatan Malaysia meningkat 1.0 peratus pada suku ketiga 2025, mengekalkan kadar yang sama seperti suku sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata indeks penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman meningkat 3.4 peratus berbanding peningkatan 3.6 peratus pada suku tahun sebelumnya.

“Peningkatan ini disumbangkan oleh indeks restoran dan aktiviti perkhidmatan makanan bergerak (4.0 peratus) dan aktiviti perkhidmatan minuman (3.0 peratus).

“Indeks lain yang mencatatkan kenaikan adalah pendidikan (1.4 peratus), kesihatan (0.7 peratus) dan profesional (0.6 peratus),” katanya dalam kenyataan mengenai Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan, Malaysia Suku Tahun Ketiga 2025 yang dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata indeks pengangkutan dan aktiviti hartanah masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 0.5 peratus manakala indeks kesenian, hiburan dan rekreasi mencatatkan peningkatan perlahan 0.4 peratus berbanding 4.5 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Mohd Uzir berkata sebaliknya, indeks maklumat dan komunikasi merekodkan penurunan sederhana 0.1 peratus, selepas mencatatkan tiada perubahan pada suku tahun sebelumnya.

“Ini dipengaruhi oleh aktiviti telekomunikasi tanpa wayar (-0.1 peratus) dan pengaturcaraan komputer, perundingan dan aktiviti berkaitan (-0.1%),” katanya.

Beliau berkata pada asas suku tahunan, IHPR Perkhidmatan Malaysia mencatatkan peningkatan 0.1 peratus berbanding 0.3 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Peningkatan itu disumbangkan terutama oleh indeks penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman (0.7 peratus), pengangkutan (0.6 peratus) dan pendidikan (0.3 perattus), katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan