KUCHING, 19 Julai (Bernama) -- Sarawak Microelectronics Design (SMD) Semiconductor akan menganjurkan Sesi Sindikasi Semikonduktor pada 21 Julai ini.
Menurut kenyataan SMD, bengkel sehari itu menghimpunkan pelbagai kementerian dan agensi persekutuan serta negeri, institusi pengajian, pusat latihan dan pemain industri bagi mempercepat transformasi Sarawak sebagai hab semikonduktor berteknologi tinggi.
Inisiatif berkenaan dianjurkan bersama Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) dengan matlamat menterjemah visi strategik kepada tindakan konkrit serta hasil boleh diukur, sambil memberi tumpuan terhadap pembangunan generasi masa depan dan daya tahan ekonomi negeri.
Bengkel berkenaan susulan pelancaran Kerangka Strategik dan Pelan Hala Tuju Semikonduktor Sarawak 2030 oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada April lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif SMD Shariman Jamin yang mengetuai sesi berkenaan dijadual membentangkan 10 langkah strategik dalam pelan hala tuju berkenaan ke arah pembangunan ekosistem semikonduktor yang komprehensif menjelang 2030.
“Pendekatan ini telah menjadi amalan kami sejak sekian lama bagi memastikan kerangka dibangunkan benar-benar mencerminkan keperluan industri - di peringkat tempatan mahupun global - sekali gus membuka peluang kepada rakyat Sarawak.
“Sindikasi ini juga akan merealisasikan visi yang digariskan, sekali gus menggerakkan perjalanan Sarawak ke arah menjadi Pusat Saraf Silikon Asia. Ini bukan sekadar impian, ia sedang berlaku. Kami mahu semua pihak untuk bersama-sama menjayakan aspirasi ini,” katanya.
Menurut kenyataan itu, penyertaan aktif daripada peserta amat dialu-alukan dalam merangka strategi selaras dengan objektif nasional serta global, manakala hasil perbincangan dan syor strategik daripada sesi berkenaan akan diserahkan secara rasmi kepada Abang Johari.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial