BATU KAWAN, 19 Julai (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara (KPN) sedang merangka pendekatan baharu bagi memperkukuh pelaksanaan Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) pada tahun depan dengan memperkenalkan konsep "2 dalam 1" di peringkat negeri.
Konsep itu bakal menggabungkan antara SMP dengan sambutan perayaan budaya etnik minoriti di negeri masing-masing.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata pendekatan itu sebagai mengiktiraf warisan etnik minoriti dan membuka ruang kepada rakyat untuk menghargai kepelbagaian budaya yang membentuk identiti Malaysia.
"Sebagai contoh negeri etnik perayaan seperti Perak, iaitu etnik Siam membabitkan perayaan Pesta Songkran; Sarawak pula etnik Melanau melibatkan perayaan Pesta Kaul; Sabah etnik Rungus dan Pesta Magahau; manakala Kelantan etnik Temiar dengan Sambutan Orang Asal; dan seterusnya Johor ialah etnik Bugis ada Pesta Lepa-Lepa.
"KPN sentiasa komited dalam mengukuhkan semangat perpaduan, kenegaraan, kebersamaan, muhibah dan kesukarelawan dalam kalangan rakyat Malaysia serta usaha itu dilaksanakan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan berpandukan Dasar Perpaduan Negara," katanya ketika berucap pada SMP 2025 Peringkat Kebangsaan di pekarangan Stadium Batu Kawan di sini hari ini.
SMP di Pulau Pinang yang juga edisi ketiga itu dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan Timbalan Menteri Perpaduan Negara K.Saraswathy
Mengulas lanjut, Aaron berkata Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) kini sedang dilaksanakan untuk kali ketiga dan dijangka skor 0.7 yang mencerminkan tahap perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Beliau berkata indeks itu menilai aspek penting seperti hubungan antara etnik, persepsi terhadap identiti nasional dan kepercayaan sosial sekali gus menjadi rujukan utama dalam merangka dasar serta inisiatif kementerian ke arah memperkukuh perpaduan negara.
"Sejak 2023, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan dan jelas memperlihatkan bahawa pembinaan Negara Bangsa merupakan matlamat akhir kepada usaha memperkukuh perpaduan nasional," katanya.
Pembinaan Negara Bangsa kini turut diangkat sebagai antara teras utama dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) maka KPN sedang melaksanakan sesi libat urus di seluruh negara bagi merangka Pelan Tindakan Pembinaan Negara Bangsa, disusuli penganjuran Persidangan Pembinaan Negara Bangsa pada Oktober ini.
Mengenai SMP 2025, Aaron berkata bertemakan "Harmoni Dalam Kepelbagaian”, sambutan itu meningkatkan keharmonian antara penganut agama di negara ini dan mencerminkan realiti masyarakat Malaysia yang majmuk dengan penerapan nilai faham, hormat dan terima menuju keharmonian nasional.
Terdapat lebih 40 aktiviti utama diadakan sepanjang SMP 2025 antaranya 22 Pameran Rumah KAMI (rumah etnik), Pameran Perkampungan Rumah Etnik Kadazan Dusun dan Orang Asli, Foodunites, Pameran Susur Masa, Pameran Malaysia Tanah Airku, sukan tradisional, Jualan Usahawan Perpaduan, Pertandingan Boria, Pertandingan Busana Etnik, Pertandingan Tarian Etnik, Pesta Buku serta persembahan kebudayaan.
Lebih 250,000 pengunjung daripada pelbagai latar belakang, agama dan budaya memeriahkan SMP 2025 yang terbukti sebagai medan terbaik dalam menyatupadukan rakyat Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial