PUTRAJAYA, 19 Julai (Bernama) -- Sebanyak 13 notis atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan oleh pegawai penguat kuasa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi 22 operasi penguatkuasaan yang dijalankan di seluruh negara, dalam tempoh dua minggu pertama bulan ini.
MOTAC dalam kenyataan hari ini memaklumkan operasi itu melibatkan pemeriksaan ke atas 180 kenderaan, 30 syarikat pelancongan, empat premis penginapan serta 33 pemandu pelancong di beberapa lokasi utama.
Kenyataan itu memberitahu pemeriksaan turut dijalankan terhadap entiti yang disyaki menjalankan perniagaan pelancongan tanpa lesen yang sah di Perak, hasil maklumat awam.
“Sekiranya disabitkan kesalahan, pihak terlibat boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482),” menurut MOTAC.
MOTAC mengingatkan mana-mana individu atau syarikat yang menyediakan perkhidmatan meliputi pengangkutan, penginapan atau penganjuran aktiviti pelancongan secara fizikal atau dalam talian supaya memohon lesen dengan segera di pejabat MOTAC negeri berdekatan sebelum tindakan perundangan yang tegas diambil.
Kenyataan itu memberitahu MOTAC akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama agensi penguat kuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, Polis Diraja Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia bagi memastikan pemain industri mematuhi undang-undang pelancongan.
Kerjasama orang ramai dan pemain industri turut dialu-alukan untuk menyalurkan sebarang maklumat tentang aktiviti pelancongan yang disyaki melanggar peraturan melalui saluran Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) yang boleh disalurkan melalui https://motac.spab.gov.my/eApps/system/index.do.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial