AM

Cradle Fokus Pemerkasaan PKS, Startup Menerusi Inisiatif Baharu

18/07/2025 10:13 PM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle), agensi fokal di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini melancarkan Cradle Innovation Advisory, satu inisiatif perkongsian strategik bagi mempercepat transformasi teknologi dalam kalangan syarikat korporat serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia.

MOSTI dalam kenyataan memaklumkan inisiatif itu bertujuan menangani kekangan struktur dalam ekosistem inovasi negara termasuk sokongan pascageran dan peluang pengkomersialan yang terhad, jurang hubungan antara industri dan syarikat pemula (startup), serta penglibatan PKS yang minimum dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata Cradle Innovation Advisory membuka jalan untuk PKS mengakses kepakaran, alat dan rangkaian diperlukan untuk terus berinovasi, berkembang dan bersaing di peringkat global.

“Ini menandakan peralihan daripada sekadar memberi sokongan kepada pemerkasaan. Dengan memperkukuh kerjasama antara universiti, korporat dan komuniti startup antarabangsa, kami menyediakan landasan bagi idea bernas, bukan sekadar dikembangkan malah untuk digerakkan ke pasaran sekali gus mengubah keseluruhan landskap sektor,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle Norman Matthieu Vanhaecke dalam kenyataan sama berkata inisiatif tersebut bukan sekadar memperkenalkan kerangka baharu tetapi juga untuk mencipta ruang kolaborasi antara startup dan pemain utama korporat.

“Dalam fasa pengesahan konsep ini, kami akan menambah baik pendekatan kami sebelum ia diperluas ke seluruh negara untuk memberi impak lebih mendalam dan berpanjangan,” katanya.

Menurut MOSTI, program utama bagi inisiatif itu ialah Corporate Innovation Lab Programme (CILP) iaitu platform berstruktur yang menawarkan bengkel modular mengikut tahap kematangan organisasi, selain turut menyediakan khidmat nasihat khusus termasuk audit inovasi, pembangunan pelan hala tuju inovasi dan sokongan pengkomersialan penyelidikan dan pembangunan.

“Cradle juga akan menawarkan akses kepada perkhidmatan strategik seperti khidmat nasihat perundangan dan perancangan modal insan.

“Selari dengan kerangka nasional seperti Ekonomi MADANI dan Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) 2021-2030, Cradle Innovation Advisory menyasarkan untuk memperkukuh kapasiti inovasi Malaysia dan memajukan kedudukannya sebagai ekosistem startup dan PKS berdaya saing di peringkat global,” menurut kenyataan itu.

Organisasi berminat menyertai atau bekerjasama dalam inisiatif itu boleh menghubungi Cradle menerusi enquiries@cradle.com.my.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan