EKONOMI

ECERDC Raih Pelaburan Komited RM75 Bilion, Pelaburan Direalisasikan RM55 Bilion Sepanjang EMP 2.0

20/01/2026 04:30 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) meraih pelaburan komited berjumlah RM75 bilion dan pelaburan yang direalisasikan sebanyak RM55 bilion sepanjang tempoh pelaksanaan Pelan Induk ECER 2.0 (EMP 2.0).

ECERDC dalam satu kenyataan hari ini berkata kedua-dua pelaburan itu melepasi sasaran masing-masing iaitu sebanyak RM70 bilion dan RM49 bilion yang sekali gus menyempurnakan EMP 2.0 yang dilaksanakan dari 2018 hingga 2025. 

“Dalam tempoh ini, lebih 79,000 peluang pekerjaan dan lebih 25,000 peluang keusahawanan telah diwujudkan, menyokong pertumbuhan pendapatan, pengembangan industri dan penglibatan komuniti di Kelantan, Terengganu, Pahang serta daerah Mersing dan Segamat di Johor,” katanya.

ECERDC berjaya meraih pelaburan direalisasikan berjumlah RM10.01 bilion pada 2025, sekali gus mencapai sasaran tahunan RM10 bilion dan menjana 5,300 peluang pekerjaan,

Sektor pembuatan kekal sebagai penyumbang utama kepada pelaburan direalisasikan pada 2025, dengan nilai RM6.2 bilion diikuti sektor minyak dan gas (RM2.2 bilion), pelancongan (RM1.1 bilion), pertanian (RM471 juta) dan perkhidmatan (RM37 juta).

Agihan ini membuktikan pembentukan asas ekonomi yang lebih seimbang dan berdaya tahan, disokong oleh pertumbuhan industri bernilai tinggi serta sektor berasaskan komuniti.

Menurut kenyataan itu, Pahang terus menerajui pertumbuhan pelaburan wilayah dengan pelaburan direalisasikan berjumlah RM7.35 bilion, diikuti Terengganu (RM1.41 bilion), Kelantan (RM1.13 bilion) serta daerah Mersing dan Segamat di Johor (RM121 juta).

Antara projek utama yang mula direalisasikan sepanjang tahun ini termasuk loji petrokimia bernilai RM1.5 bilion di Pahang, kilang pembuatan pulverised quartz bernilai RM638.6 juta di Terengganu, serta projek jana kuasa hidro mini berkapasiti 84 megawatt bernilai RM1 bilion di Kelantan.

Selain itu, pelaksanaan operasi Lembah Tenusu Jemaluang bernilai RM91 juta di Johor, menandakan satu pencapaian penting dalam memperkukuh keterjaminan makanan negara dan rantaian nilai tenusu domestik.

Menurut kenyataan itu, pelaburan komited berjumlah RM12.4 bilion mencerminkan saluran pelaburan masa hadapan yang mampan dengan sektor pembuatan menyumbang RM9.7 bilion, perkhidmatan dan pertanian masing-masing sebanyak RM1.1 bilion, pelancongan (RM500 juta) dan minyak dan gas (RM1.5 juta).

Sejajar dengan mandat pembangunannya, ECERDC juga menyiapkan beberapa projek pemangkin utama pada 2025 termasuk Lembah Tenusu Jemaluang di Mersing, Fasa 1B Kompleks PKS Taman Biopolimer Kerteh, pembinaan jalan penghubung Lapangan Terbang Kuala Terengganu ke Pusat Bandar Kuala Terengganu, serta kerja-kerja menaik taraf Pusat Konservasi dan Informasi Penyu (TCIC) Cerating.

Kemajuan turut dicatatkan dalam projek utama yang sedang dilaksanakan dengan kerja-kerja infrastruktur dan tanah di Taman Perindustrian Malaysia–China Kuantan (MCKIP) 3 berjalan lancar, manakala fasa pertama Projek Promenad Pusat Bandar Kuala Terengganu semakin hampir disiapkan.

Di Johor, kerja menaik taraf jalan akses ke Taman Negara Johor Endau-Rompin dari Kahang ke Sungai Emas kini hampir siap, sekali gus menambah baik akses ke destinasi eko-pelancongan utama manakala pembinaan Jambatan Palekbang–Kota Bharu di Kelantan dijangka siap pada 2027.

“ECERDC kini akan beralih ke fasa pembangunan seterusnya berpandukan Pelan Pembangunan ECER 2026–2030, yang akan menyediakan hala tuju strategik bagi promosi pelaburan, penyampaian infrastruktur dan peningkatan sosioekonomi.

“Pelan ini akan menumpukan kepada industri bernilai tinggi, keterjaminan makanan, pelancongan mampan, tenaga boleh baharu dan kesalinghubungan logistik, sambil memastikan pertumbuhan yang inklusif dan selari dengan keutamaan nasional,” kata ECERDC.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan