AM

Malaysia Berpotensi Jadi Hab Tuna Serantau - TPM Ahmad Zahid

16/09/2025 07:30 PM

BUTTERWORTH, 16 Sept (Bernama) -- Malaysia berpotensi muncul sebagai hab pendaratan ikan tuna di rantau ini menerusi usaha kerajaan dan sektor swasta memperkukuh pembangunan industri hiliran serta kemudahan perkapalan berkaitan sektor berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah itu penting bagi memastikan hasil laut dalam, khususnya tuna tidak lagi dieksport dalam bentuk mentah sehingga merugikan nilai tambah kepada negara.

Beliau berkata antara inisiatif dilakukan termasuk kerjasama strategik antara Asia Ocean Resources Sdn Bhd (AORSB) dengan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) yang membolehkan pendaratan hasil tuna sejuk beku -60 darjah Celsius serta pelancaran produk premium Shinkai Origin di Pelabuhan Pulau Pinang, hari ini.

Langkah itu, katanya memperkukuh sektor ekonomi biru negara, meningkatkan sekuriti makanan, pembangunan modal insan dan daya saing Malaysia dalam industri perikanan laut dalam.

“Malaysia tidak boleh hanya menjadi penonton. Kita mesti merebut peluang dalam industri tuna global bernilai kira-kira US$42 bilion setahun dan dijangka meningkat kepada US$54 bilion menjelang 2032,” katanya pada sidang media selepas pemeteraian perjanjian antara AORSB dan PPSB di sini hari ini.

Beliau berkata pelancaran Shinkai Origin menandakan jenama laut dalam Malaysia kini mampu menembusi pasaran premium antarabangsa termasuk Kesatuan Eropah, Timur Tengah, BRICS dan Amerika Syarikat.

Selain memberi nilai tambah kepada eksport negara, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata projek itu juga membuka peluang pekerjaan serta melatih tenaga kerja mahir melalui program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Ketika sesi libat urus Belanjawan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) baru-baru ini, saya telah mencadangkan TVET Maritim diwujudkan bagi melatih anak muda dalam bidang perikanan laut dalam, penyelenggaraan kapal dan pemprosesan hasil tuna. 

"Ini adalah kluster baharu yang berpotensi besar," katanya. 

Timbalan Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada syarikat industri yang membuka peluang kepada pelajar institusi TVET menjalani latihan praktikal di limbungan kapal dan vesel laut dalam, sekali gus mempercepatkan proses pemindahan teknologi dari negara maju seperti Jepun, Korea dan Taiwan.

Beliau berkata berkata Pulau Pinang akan menjadi pemangkin kepada pembangunan hab tuna serantau dan bukan sekadar sebagai pusat pendaratan, tetapi juga pemprosesan, penyelidikan, latihan TVET dan perdagangan global.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan