PUTRAJAYA, 17 Sept (Bernama) -- Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan mewujudkan kerangka kawal selia bagi sektor ekonomi altitud rendah, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Beliau berkata kerangka kawal selia itu sangat diperlukan untuk memajukan sektor baharu berkenaan, dan pada masa sama menjamin aspek keselamatan.
“Ekonomi altitud rendah adalah satu bidang baharu yang perlu dipelopori kerana ini juga sangat berkaitan dengan perkembangan ekonomi kita dan selari dengan misi serta visi kerajaan.
“Ini (kawal selia) mesti dilaksanakan oleh CAAM, sebab apa sahaja industri baharu tanpa satu kerangka kawal selia yang jelas, ia tidak boleh berkembang terutamanya dalam bidang penerbangan ini,” katanya pada sidang media selepas melancarkan identiti korporat baharu CAAM di sini hari ini.
Ekonomi altitud rendah merujuk kepada aktiviti ekonomi yang menggunakan ruang udara pada altitud rendah.
Ia merangkumi penggunaan kenderaan udara seperti dron dan pesawat untuk pelbagai tujuan seperti perkhidmatan penghantaran, teksi terbang, pertunjukan cahaya dron serta perkhidmatan kecemasan tindak balas cepat.
Mengulas lanjut, Loke berkata CAAM akan mengambil pendekatan untuk tidak terlalu mengawal selia sektor berkenaan bagi memastikan kemajuannya.
“Kalau kita terlalu mengawal selia, susah bagi mana-mana pemain industri untuk masuk dalam pasaran,” katanya.
Dalam pada itu, Loke berkata CAAM akan mengkaji semula beberapa proses dan peraturan bagi meningkatkan kecekapan dan mengurangkan ‘pita merah’ dalam sektor penerbangan awam negara.
“Peraturan dan proses yang mungkin tidak mengikut peredaran zaman, CAAM perlu kaji semula dan jika perlu adakan pindaan dari semasa ke semasa,” katanya.
Loke turut memaklumkan pelantikan baharu pasukan pengurusan CAAM akan dilakukan secara berperingkat.
Beliau berkata kerajaan mahu memastikan hanya calon yang paling layak dan berwibawa dipilih bagi mengisi jawatan yang diperlukan, termasuk Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Ekonomi) CAAM.
Loke hari ini menyaksikan pelancaran logo dan identiti korporat baharu CAAM.
Pengenalan identiti baharu itu selari dengan peranan CAAM sebagai pengawal selia tunggal bagi industri penerbangan negara selepas penggabungannya dengan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) pada 1 Ogos lepas.
CAAM yang ditubuhkan sebagai badan berkanun pada 2018 untuk mengawal selia aspek teknikal dan keselamatan sektor penerbangan kini turut mengambil alih pengawalseliaan ekonomi, persaingan serta perlindungan pengguna.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial