SHAH ALAM, 12 Feb (Bernama) -- SP Setia Bhd bakal melancarkan siri rumah teres dua tingkat, Aurora pada 14 Feb, 2026, sekali gus menandakan pencapaian penting dalam pengembangan berterusan kumpulan itu di Selangor.
Ketua Pegawai Operasinya Datuk Yuslina Mohd Yunus berkata fasa pertama projek itu adalah di kawasan Setia Bayuemas South yang baharu iaitu sebahagian daripada bandar Setia Bayuemas yang berkeluasan 220.554 hektar.
Katanya, ia berstatus pegangan bebas di Klang, Selangor dan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM76.7 juta.
Yuslina berkata siri Aurora, khususnya fasa pertama yang dikenali sebagai Fasa RP10 terdiri daripada 82 unit rumah teres dua tingkat bersaiz 22' x 75' dengan keluasan binaan dari 195.1893 meter persegi hingga 202.6215 meter persegi dengan harga ditawarkan bermula daripada RM880,000.
"Setia Bayuemas sudah lama mencerminkan komitmen kami terhadap perancangan yang teliti, ruang hijau yang luas dan kehidupan berpusatkan komuniti di Koridor Klang Selatan.
"Aurora pula merupakan kawasan kediaman pertama Setia Bayuemas South yang menandakan pencapaian penting pengembangan yang diperhalusi daripada alamat yang terkenal ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Yuslina, melalui Aurora, pihaknya bukan sekadar memperluas bandar ini sebaliknya memberi tambah nilai kepadanya.
"Sebagai ekspresi pertama bagi visi baharu Setia Bayuemas South, ia menyerlahkan reka bentuk yang kontemporari, teknologi hijau bersepadu dan pelan induk yang memberi tumpuan kesejahteraan dan direka khas untuk generasi akan datang," katanya.
Yuslina berkata, walaupun Setia Bayuemas South kekal berpegang pada nilai yang membentuk komuniti yang kukuh, Aurora pula memperkenalkan persekitaran yang dinamik, moden dan saling berhubung untuk keluarga masa kini.
Beliau menambah Aurora disasarkan untuk menyokong keperluan keluarga yang berkembang melalui infrastruktur yang tahan lasak, kelengkapan pintar dan elemen teknologi hijau bagi memastikan persekitaran kehidupan yang lebih lestari untuk generasi pemilik rumah seterusnya.
Katanya, ia selaras dengan falsafah SP Setia dalam mewujudkan komuniti yang lestari dan memperkaya gaya hidup.
"Aurora menandakan permulaan siri kediaman tujuh fasa selepas kejayaan berterusan siri Laelia melalui empat fasa sebelumnya yang mencatatkan kadar pembelian luar biasa iaitu sebanyak 91 peratus.
"Direka dalam kawasan Setia Bayuemas South yang baru diperkenalkan, Aurora melengkapi kemajuan pelan induk bandar ini dengan peningkatan kawasan sesuai didiami dan perancangan komuniti lestari," katanya.
Yuslina berkata unit kediaman itu akan dilengkapi dengan ciri-ciri masa hadapan yang terdiri daripada Kunci Pintar, Suis Hijau, BOX 366, penyediaan port pengecas kenderaan elektrik (EV), penyediaan saluran solar dan komponen Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi meningkatkan kualiti serta kecekapan.
Menurutnya, kawasan itu juga menawarkan kawasan rekreasi utama seperti tasik kedua Setia Bayuemas dan taman linear sepanjang satu kilometer yang menyediakan ruang riadah semula jadi dan mesra keluarga.
Yuslina turut menekankan kemudahan penting lain yang berdekatan seperti institusi pendidikan, penjagaan kesihatan dan destinasi santai.
Ini merangkumi Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Wu Teck dan Sekolah Kebangsaan Kampung Pendamar, Hospital Manipal Klang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, pusat beli belah AEON Bukit Tinggi, KSL Esplanade Mall dan GM Klang Wholesale City.
“Penduduk Setia Bayuemas South akan menikmati ketersambungan yang tiada tandingan melalui rangkaian lebuh raya utama seperti Lebuhraya Shah Alam, Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) termasuk Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) bagi memastikan akses lancar ke kawasan utama di Lembah Klang.
"Stesen transit aliran ringan (LRT) 3 Johan Setia akan datang yang dijadualkan dibuka pada suku pertama 2026 dan terletak kira-kira tiga kilometer jauhnya akan meningkatkan lagi akses pengangkutan awam," katanya.
Sementara itu, kenyataan itu memberitahu, bersempena pelancaran Aurora, SP Setia akan menyambut perayaan Tahun Baharu Cina kali ini dengan acara mesra keluarga yang meriah di Galeri Jualan Setia Bayuemas pada 14 Feb, 2026 mulai 10 pagi hingga 5 petang.
Sewaktu menyambut perayaan itu, para tetamu boleh menikmati dan menyertai bengkel perayaan, kaligrafi Cina, kemunculan maskot dewa kemakmuran, gula-gula janggut naga serta sesi menggaul Yee Sang dengan makanan dan minuman dihidang percuma sepanjang hari.
Persembahan kemuncak yang ditunggu-tunggu iaitu tarian singa, gendang 24 musim dan tarian singa akrobatik juara dunia yang akan memberikan peluang kepada pengunjung untuk menyerap semangat Tahun Baharu Cina sambil meneroka rumah Aurora dan komuniti Setia Bayuemas South.
Mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut, mengatur janji temu bagi melihat unit selain mengemukakan pertanyaan jualan dan melawat Galeri Jualan Setia Bayuemas dengan melayari https://spsetia.com/property/setia-bayuemas/ atau menghubungi +603 3325 1700.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial