ALOR SETAR, 12 Okt (Bernama) -- Polis Kedah melupuskan 1,385 aksesori motosikal yang diubah suai dan dirampas bernilai RM131,000 sejak 2024 hingga September lepas.
Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata semua komponen dilupuskan itu merangkumi ekzos diubah suai, aksesori tambahan tidak mengikut spesifikasi serta beberapa komponen lain yang dikategorikan tidak selamat digunakan di jalan raya.
"Pelupusan ini melibatkan 546 unit ekzos, 574 unit swing arm, 15 unit karburetor, tiga Unit Kawalan Elektronik (ECU), 109 unit fork dan 138 unit lain-lain item selepas mendapat arahan daripada majistret di bawah Seksyen 407 Kanun Prosedur Jenayah. Kaedah pelupusan adalah dengan menggunakan jentera penggelek jalan.
"Kesemua aksesori motosikal ini dirampas dan disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Terdapat banyak lagi barang dirampas yang menunggu arahan mahkamah untuk dilupuskan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Adzli berkata pemilik boleh menuntut semula motosikal yang disita dalam tempoh 24 jam dengan syarat mereka memasang semula aksesori asal.
"Signifikasi bagi operasi sitaan komponen motosikal ini ialah kadar kemalangan jalan raya bagi Kontinjen Kedah. Bagi tempoh Januari hingga 5 Okt lepas, sebanyak 21,381 kes dicatatkan berbanding 21,453 kes dalam tempoh sama pada 2024.
"Daerah yang menunjukkan penurunan paling tinggi ialah Kota Setar iaitu 4,485 kes pada 2025 berbanding 4,773 kes tahun lepas, manakala kadar kemalangan maut bagi daerah Kuala Muda menunjukkan pengurangan sebanyak 45 kes iaitu 62 kes kemalangan maut pada tempoh Januari hingga Oktober berbanding 107 kes kemalangan maut pada tempoh sama tahun lepas," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial