ALOR SETAR, 7 Dis (Bernama) -- Pesawah di seluruh negara disarankan mendaftar dengan Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) bagi membolehkan mereka mendapat faedah pampasan sekiranya tanaman terkesan bencana termasuk banjir.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kerajaan telah menyediakan peruntukan RM50 juta bagi bayaran premium skim berkenaan pada tahun ini dan petani hanya perlu mendaftar untuk menerima faedah.
“Skim itu diselia Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Agrobank yang bermula pada 2024 sebagai persediaan pesawah menghadapi pelbagai risiko bencana alam termasuk banjir yang menjejaskan pengeluaran hasil padi.
“Skim STTP yang disediakan secara percuma ini satu daripada komitmen kerajaan membantu dan melindungi pesawah daripada risiko kerugian akibat bencana alam seperti banjir, kemarau, serangan penyakit serta makhluk perosak yang sering mengancam tanaman,” katanya di sini hari ini.
Beliau ditemui pemberita semasa meninjau kerosakan infrastruktur pengairan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan kerosakan tanaman padi di Kuala Sungai Baru di sini hari ini.
Amir Hamzah berkata kadar perlindungan kerosakan tanaman padi yang diberikan pula hingga RM3,000 bagi setiap hektar semusim mengikut fasa penanaman.
Justeru, beliau menyeru pesawah memanfaatkan kemudahan berkenaan bagi memastikan mereka berupaya menyumbang kepada kestabilan rantaian bekalan makanan negara.
STTP yang diperkenalkan selaras dengan Belanjawan 2024 mendapat sokongan subsidi kerajaan sebanyak RM50 juta untuk tahun pertama pelaksanaan.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan menyalurkan sejumlah RM425 juta pada tahun ini dan 2025 bagi bantuan banjir selain pembaikan infrastruktur yang terjejas bencana di seluruh negara.
“Kita masih melihat jika ada apa-apa lagi yang kita boleh bantu ... ,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial