JASIN, 20 Julai (Bernama) -- Sebanyak 18 pasukan menyertai Pertandingan Tarian Singa dan Naga peringkat kebangsaan Piala YB Along 2025 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chiao Chee, Selandar di sini hari ini.
Pertandingan kali pertama dianjurkan pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Asahan itu disertai pasukan dari Kuala Lumpur, Johor, Selangor, Kelantan dan Melaka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan berkata acara itu menjadi platform memupuk perpaduan dan menghargai seni budaya warisan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
“Tarian singa dan naga kini juga mempunyai peserta daripada kaum lain serta menjadi elemen perpaduan yang boleh diraikan. Acara seperti ini memberi peluang kepada masyarakat lain mengenali seni dan tradisi kaum Cina selain dapat menarik kehadiran pengunjung,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, Fairul Nizam merasmikan pertandingan itu dan turut hadir Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem.
Beliau memaklumkan hasrat untuk meneruskan penganjuran pertandingan itu berikutan sambutan diterima amat menggalakkan.
Pertandingan itu menawarkan hadiah wang tunai RM3,000 kepada johan, naib johan (RM2,000) dan tempat ketiga (RM1,000).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial