AM

Nampak Mahal Dari Itali, 'Kasut Bomba' Sebenarnya Buatan Malaysia

20/07/2025 06:12 PM

Oleh Lucia Terey John

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Sepasang kasut diperbuat daripada kulit berkilat dengan jahitan kemas dan rekaan yang biasanya dikaitkan dengan jenama fesyen Eropah terutamanya daripada Itali, yang dipakai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming baru-baru ini mencuri perhatian seorang arkitek landskap terkenal Ng Sek San.

Menurut Ng, beliau sedang bersarapan di sebuah kedai kopi ketika ternampak Nga yang kebetulan sedang menggayakan kasut berkenaan.

Beliau menyangka kasut itu pastinya mahal dan berjenama luar negara namun ternyata sangkaannya meleset.

“Beliau (Nga) pastinya terdengar perbualan saya (dan rakan) mengenai kasutnya di meja sebelah. Saya mengatakan bahawa beliau sedang memakai kasut kulit berjenama Itali yang mahal.

“Apabila beliau melintasi saya, beliau berhenti dan membuka kasutnya untuk membuktikan bahawa ia adalah jenama tempatan Malaysia bernama Footlink,” menurut hantaran Facebook Ng yang tular.

Ng kemudiannya mendapat tahu bahawa kasut itu turut dikenali sebagai ‘kasut bomba’ kerana banyak digunakan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Dijual pada harga kira-kira RM200, kasut tersebut direka oleh lepasan kejuruteraan Universiti Teknologi Mara (UiTM) selain dianggap sebagai ‘kasut perubatan’ dan dijual oleh institusi penjagaan kesihatan seperti Institut Jantung Negara (IJN).

Nga kemudian menjelaskan bahawa beliau telah memakai kasut itu sejak 2023 untuk menunjukkan sokongannya terhadap produk buatan tempatan serta petugas bomba dan penyelamat di bawah kementeriannya.

“Kerajaan MADANI menetapkan dasar untuk membeli produk yang bukan sahaja ‘dibuat di Malaysia’ tetapi juga ‘dibuat oleh Malaysia’.

"Saya mempamerkan kepimpinan melalui teladan bagi mempromosikan produk tempatan dan menunjukkan solidariti dengan anggota bomba kita sepanjang masa," katanya dalam kenyataan kepada Bernama.

Nga berharap usahanya itu akan membantu mempromosikan produk tempatan yang berkualiti dan memberikan inspirasi untuk lebih ramai orang menghargai inovasi Malaysia.

“Kualiti kasut itu sangat bagus dan harganya mampu milik sekitar RM200,” tambahnya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan