JASIN, 19 Julai (Bernama) -- Seorang lelaki berusia 18 tahun ditahan kerana disyaki menyamar sebagai anggota polis dan cuba menahan seorang wanita di persimpangan lampu isyarat Taman Debunga, Merlimau di sini pada awal pagi 16 Julai.
Ketua Polis Daerah Jasin Supt Mohamad Rusli Mat berkata remaja itu ditahan di sebuah pasar raya berhampiran kawasan Perindustrian Telok Mas kira-kira 9 malam tadi susulan laporan oleh mangsa yang berusia 19 tahun.
Beliau berkata wanita itu mendakwa suspek yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis ketika kejadian turut memintanya menunjukkan lesen memandu selain cuba mengambil kunci motosikalnya.
"Mangsa bagaimanapun enggan berbuat demikian dan memberitahu lelaki itu supaya ke Balai Polis Merlimau jika mahu mengambil tindakan lanjut terhadapnya. Suspek yang menaiki motosikal telah membatalkan hasratnya sebelum beredar," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohamad Rusli berkata suspek yang dipercayai hanya mahu menakutkan mangsa turut mengaku dalam soal siasat telah beberapa kali melakukan kegiatan penyamaran di kawasan Merlimau.
Beliau berkata polis turut merampas beberapa barangan termasuk motosikal yang digunakan dan lelaki itu direman tiga hari bermula hari ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial