AM

Tegas Namun Jiwa Wanita Tetap Utuh, Pesara Tentera Mahu Jadi Tukang Jahit

10/06/2025 07:13 PM

KLUANG, 10 Jun (Bernama) -- Lazimnya, seseorang yang pernah menyertai angkatan tentera termasuk Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) terkenal dengan sifat ketegasan dan ketangkasan, tidak kira anggota atau pegawai wanita mahupun lelaki.

Namun, Bintara Kanan (B) P. Maygala, 41, yang sebelum ini berkhidmat dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan bersara pada tahun lepas, jiwa wanitanya tetap utuh dan memilih untuk menceburi bidang jahitan pakaian.

"Ramai yang bertanya kepada saya, mengapa saya memilih bidang jahitan dan bukannya keselamatan? Saya jawab senang sahaja, saya seorang wanita, ibu, jadi jiwa kewanitaan tetap wujud walaupun ketegasan sebagai tentera masih ketara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas Majlis Penyampaian Sijil PERHEBAT di sini hari ini, yang disempurnakan oleh Panglima Pasukan Simpanan TLDM Laksamana Pertama Azhar Adam.

Maygala berkata selain minat, beliau ingin menyambung legasi ibunya yang juga seorang tukang jahit dan sering membantu ibunya di kedai sebelum menjadi anggota tentera.

Justeru, beliau memilih bidang pengurusan perniagaan dalam Latihan Peralihan melalui kursus oleh Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) sebagai kerjaya kedua setelah bersara daripada pasukan keselamatan itu.

“Apabila saya tamat pengajian dan menerima sijil hari ini, saya berhasrat untuk meneruskan perniagaan pakaian ibu saya yang terletak di Johor Bahru … terima kasih kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan PERHEBAT kerana memberikan ilmu tambahan ini," katanya yang berkhidmat selama 21 tahun termasuk menyertai pasukan pengaman MALBATT di Lubnan.

Bagi Kopral (B) Helmi Mohd Balawi, 43, beliau ingin membuka sebuah kafe berasaskan kopi, berbekalkan ilmu berkaitan industri kecil dan sederhana yang ditimbanya semasa Latihan Peralihan PERHEBAT, setelah bersara daripada tentera.

"Sebelum ini saya berkhidmat dalam pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) selama 26 tahun … saya tiada kemahiran lain, hanya mahir dalam bidang ketenteraan, itulah sebabnya saya menyertai kursus ini selain ingin membiasakan diri sebagai orang awam dan belajar tentang perniagaan," katanya yang mempunyai minat mendalam terhadap kopi.

Sementara itu, Azhar berkata ATM dan PERHEBAT akan memperbanyak kerjasama dengan pihak swasta untuk memberikan peluang kerja kepada pesara dan veteran tentera.

Beliau berkata sebanyak lapan memorandum dan nota persefahaman baharu dimeterai pihaknya bagi tahun ini untuk menyokong inisiatif pembangunan modal insan pesara dan veteran ATM dalam meneroka bidang baharu.

“Selain bidang perniagaan yang melahirkan usahawan dalam kalangan pesara, kita kini mengalih tumpuan kepada bidang penyelenggaraan, pembaikan, baik pulih (MRO) aset ketenteraan dengan latihan tertentu.

“Melalui program Latihan Peralihan ini, sejumlah 3,473 pesara ATM dan lima pesara JMF berjaya menamatkan latihan sekali gus menerima sijil. Sebanyak 514 anggota dan veteran juga telah berjaya dianugerahkan Diploma Kemahiran Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan