JOHOR BAHRU, 22 Julai (Bernama) -- Causeway Link penyedia utama perkhidmatan bas rentas sempadan di antara Johor Bahru dan Singapura menyatakan bahawa langkah sedang diambil untuk menangani isu-isu yang dibangkitkan serta memastikan perkhidmatan pengangkutan penting terus berjalan seperti biasa.
Syarikat itu dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa mereka mengakui terdapat beberapa pemandu bas yang memilih untuk memulakan tindakan perindustrian dan menegaskan komitmen syarikat itu terhadap komunikasi terbuka serta persekitaran kerja yang saling menghormati untuk semua pekerja.
“Kami memahami peranan penting dimainkan kapten bas kami dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang selamat dan dipercayai kepada komuniti. Kami ingin memberi jaminan kepada orang ramai dan penumpang, bahawa kami sedang berbincang dengan pihak berkaitan bagi menangani situasi ini dan mencapai penyelesaian yang membina,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan Causeway Link itu memaklumkan bahawa mereka sedang mengambil semua langkah yang mungkin untuk meminimumkan gangguan perkhidmatan, terutamanya pada laluan penting.
“Kami amat kesal atas sebarang kesulitan yang timbul kepada penumpang kami dan menghargai kesabaran anda sepanjang tempoh ini,” menurut kenyataan itu.
Syarikat itu dalam kenyataan tersebut berharap menerusi dialog berterusan, penyelesaian yang adil dan bermanfaat akan dapat dicapai untuk semua pihak yang terlibat.
Semalam, satu rakaman video tular di media sosial yang menunjukkan situasi sesak di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) pada jam 5.30 pagi, dipercayai berpunca daripada gangguan perkhidmatan bas susulan mogok tersebut.
Media tempatan melaporkan bahawa mogok itu dipercayai disebabkan oleh rasa tidak puas hati dalam kalangan pemandu bas mengenai penyelarasan struktur gaji dan pemotongan elaun, yang didakwa menjejaskan pendapatan mereka.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial