AM

Umat Islam Perlu Pertahan Legasi Keilmuwan Islam - PM Anwar

19/07/2025 11:48 PM

PUTRAJAYA, 19 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru umat Islam agar terus mempertahankan legasi keilmuan Islam serta memperkukuh hubungan antara ulama dan umara dalam mendepani cabaran era moden, termasuk perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) dan digitalisasi.

Beliau mengingatkan bahawa kejayaan teknologi mesti didasari dengan nilai, akhlak dan kefahaman agama yang mendalam kerana aspek itu menjadi tunjang kekuatan umat Islam sejak sekian lama.

"Kalau kita tidak seiring, malah tidak berasaskan dan berpangkal kepada kekuatan kefahaman serta pencerahan, tidak ada jaminan keselamatan.

“Malaysia adalah antara negara yang mencetuskan pembangunan AI, tetapi jika tidak disertakan nilai dan akhlak, maka kita hanya menjadi pengguna kepada sistem Barat,” katanya ketika berucap pada program Malaysia Bermunajat 2025 bertemakan ‘Menyatukan Ummah Melalui Munajat dan Ilmu’ di Masjid Putra di sini, malam ini.

Program anjuran Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu diadakan bertujuan menyemarakkan budaya munajat dan penghayatan ilmu sebagai asas penyatuan ummah serta pembinaan masyarakat berteraskan nilai Malaysia MADANI.

Perdana Menteri turut menekankan peranan institusi pondok yang menjadi benteng pertahanan akidah, budaya dan ilmu umat Islam ketika negara ini dijajah.

“Ketika sistem pendidikan, ekonomi dan budaya diambil alih oleh penjajah, yang tinggal hanyalah satu kekuatan, iaitu pondok atau pesantren, yang mempertahankan roh Islam, ilmu dan semangat perjuangan.

“Bayangkan 100 tahun lalu penjajah Inggeris mengambil alih. Jika tiada pondok, tiada pesantren, kita mungkin telah kehilangan akidah, semangat dan roh perjuangan,” katanya.

Beliau juga mahu pelajar institusi sekolah pondok menguasai ilmu baharu, termasuk bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta kecerdasan buatan (AI), bagi memastikan mereka tidak ketinggalan daripada arus teknologi perdana.

“Oleh itu, anak-anak pondok juga harus diberi ruang dalam sistem pendidikan moden, menguasai dunia digital, tetapi tetap berpegang pada akar keilmuan Islam,” katanya.

Beliau turut menyeru umat Islam di negara ini untuk menggali kembali khazanah ilmu Islam, khususnya dalam bidang al-Quran, hadis, fiqah, perundangan, pendidikan termasuk teknologi dan pengurusan negara, supaya mereka tidak hilang sejarah dan jati diri dalam keghairahan mengejar perubahan serta teknologi.

Sementara itu, beliau berkata Malaysia menjadi negara yang menghimpunkan ulama dan tokoh dari seluruh dunia untuk berbicara, mendidik dan memberi pencerahan bagi menyelamatkan umat dan negara secara bebas, terbuka serta beradab.

“Kita bersyukur negara ini aman, kita bersatu, dan inilah satu-satunya negara yang sentiasa menghimpunkan ulama alim dari seluruh dunia, datang berbicara, mendidik, memberi pencerahan untuk menyelamatkan umat dan negara,” katanya.

Program Malaysia Bermunajat 2025 yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar serta ribuan jemaah, diserikan dengan kehadiran ulama dari Pakistan, Maulana Tariq Jamil.

Pada majlis itu, Maulana Tariq menyampaikan syarahan yang penuh hikmah berkaitan pentingnya hubungan hati dengan Allah SWT serta tanggungjawab umat Islam terhadap masyarakat sekeliling.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan