AM

Malaysia Belum Terima Maklumat Dakwaan Jho Low Berada Di Shanghai - PM Anwar

19/07/2025 06:45 PM

BAYAN LEPAS, 19 Julai (Bernama) -- Malaysia belum menerima sebarang maklumat berhubung laporan yang mendakwa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, kini menetap di Shanghai, China.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan menyemak keberadaan dalang utama skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu, yang dikatakan menggunakan pasport Australia palsu dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

“Saya tidak dapat maklumat, kita belum dapat apa-apa maklumat. Let me check. Saya dah baca (laporan media). Saya kena semak dengan Menteri KDN,” katanya secara ringkas kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Kompleks MADANI Teluk Kumbar, dekat sini hari ini.

Anwar mengulas mengenai beberapa laporan media yang mengatakan Jho Low, yang diburu oleh pihak berkuasa antarabangsa, dipercayai kini menetap di sebuah kawasan elit di Shanghai dengan menggunakan pasport Australia palsu.

Pendedahan tersebut dibuat dua wartawan penyiasatan yang terkenal, yang sebelum ini membongkar skandal kewangan terbesar dunia 1MDB, iaitu Bradley Hope dan Tom Wright dalam episod khas Finding Jho Low: Live with Bradley Hope & Tom Wright, pada Jumaat.

Skandal kewangan 1MDB yang merupakan antara terbesar dalam sejarah menyaksikan Jho Low sebagai dalang utama berikutan didakwa menyeleweng USD7.65 bilion (RM35 bilion).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan