AM

Port Dickson, Johan Setia Rekod Kualiti Udara Tidak Sihat

19/07/2025 05:35 PM

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Port Dickson, Negeri Sembilan dan Johan Setia, Selangor mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat 4 petang ini.

Menurut laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Port Dickson merekodkan bacaan IPU 124 manakala Johan Setia mencatatkan IPU 109.

Sementara itu, 60 kawasan lain mencatatkan IPU tahap sederhana antaranya Banting, Selangor (94), Cheras, Kuala Lumpur (89), Nilai, Negeri Sembilan (86), Kota Bharu, Kelantan (85), Kuala Terengganu, Terengganu (84) dan Sungai Petani, Kedah (83).

Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara adalah baik, 51-100 sederhana, 101-200 tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat dan IPU melebihi 300 adalah berbahaya. 

Data IPU itu dikeluarkan setiap jam berdasarkan 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara. 

Sementara itu, Ketua Pengarah JAS Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata pihaknya telah meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian ke kawasan-kawasan yang berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka serta memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.

Beliau berkata Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) telah diaktifkan bagi menyelaras tindakan agensi kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka dan menghadapi situasi jerebu negara.

"Semua pemilik tanah dinasihatkan memantau rapi kawasan mudah dan sering terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri serta mencegah pencerobohan pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka sama ada untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Wan Abdul Latiff berkata menerusi PTJK, semua aktiviti di luar bilik darjah perlu dihentikan apabila bacaan IPU melebihi 100 manakala sekolah, tadika dan taska ditutup serta-merta apabila bacaan IPU melebihi 200. 

Beliau berkata selain itu, Operasi Pembenihan Awan (OPA) akan dilakukan tertakluk kepada kehadiran awan dan cuaca yang sesuai pada bacaan IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih daripada 24 jam. 

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata beberapa negeri di pantai barat Semenanjung Malaysia kini dilanda jerebu rentas sempadan susulan kehadiran 79 titik panas di wilayah Sumatera, Indonesia.

Beliau berkata keadaan berjerebu itu dikesan berdasarkan imej satelit NOAA-20 pada 18 Julai serta laporan daripada Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC). 

"Jerebu ini berkemungkinan dibawa oleh tiupan angin barat daya. MetMalaysia tidak menjangkakan sebarang hujan atau perubahan arah angin dalam beberapa hari ini yang boleh membantu mengurangkan kesan jerebu," katanya. 

Orang ramai digalakkan mendapatkan maklumat cuaca yang sahih melalui laman web rasmi, aplikasi mudah alih myCuaca serta media sosial rasmi MetMalaysia atau menghubungi talian hotline 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan