KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan menubuhkan Dana Amanah Sukan Negara sebagai satu mekanisme kewangan mampan bagi menyokong pembangunan sukan tanah air, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada dana kerajaan.
Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata cadangan penubuhan dana berkenaan mendapat persetujuan sebulat suara dalam Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM ke-213 hari ini.
Beliau berkata dana berkenaan akan menjadi platform pelaburan jangka panjang yang menggalakkan penyertaan sektor swasta termasuk syarikat korporat, yayasan dan dermawan individu bagi menyalurkan bantuan kewangan kepada persatuan sukan (NSA), atlet dan jurulatih dalam usaha meningkatkan pencapaian sukan negara.
“Sudah tiba masanya untuk kita semua tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada kerajaan, peruntukan kerajaan untuk membantu sukan negara sudah berakhir. Kita memerlukan sokongan daripada sektor swasta untuk mengambil bahagian.
“Usaha ini adalah pelengkap kepada apa yang kerajaan dah buat sekarang ini melalui Majlis Sukan Negara dengan Kementerian Belia dan Sukan. Kita mahu bentangkan ini dan kita akan bawa ke peringkat tertinggi KBS melalui Menteri Hannah Yeoh,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan di sini hari ini.
Beliau berkata dana berkenaan akan ditadbir secara bebas tanpa campur tangan politik, dengan pengawasan sebuah badan bebas terdiri daripada wakil MOM serta tokoh industri, manakala penyertaan kerajaan pula masih dalam perbincangan.
Mohamad Norza berkata penglibatan kerajaan penting memantau operasi dana termasuk mempertimbangkan pemberian insentif cukai kepada penyumbang.
Beliau berkata penubuhan dana itu dijangka dapat direalisasikan selewat-lewatnya pada suku pertama tahun depan atau lebih awal menjelang hujung tahun ini.
Sementara itu, Mohamad Norza mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Pemandu Projek Rumah Olimpik yang akan dipengerusikan Setiausaha Agung MOM Datuk Mohd Nasir Ali dan Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) Gerard Monteiro selaku Timbalan Pengerusi.
Beliau berkata ahli jawatankuasa lain ialah Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Amarjit Singh Gill, Presiden Persekutuan Boling Padang Malaysia (MLBF) Datuk Awalan Abdul Aziz dan Presiden Persekutuan Catur Malaysia (MCF) Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi.
Mohamad Norza berkata jawatankuasa berkenaan akan memantau dan memastikan projek pembinaan bernilai RM93 juta melibatkan pembinaan ibu pejabat MOM dan dijangka siap menjelang 2028 dinilai secara telus dan objektif.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial