AM

Ekspo Pertanian Dedah Teknologi Pertanian Moden Kepada Petani Kecil - Dr Rundi

18/07/2025 03:19 PM

KOTA SAMARAHAN, 18 Julai (Bernama) -- Penganjuran ekspo pertanian mampu membuka ruang dan pendedahan kepada petani kecil terhadap teknologi pertanian moden serta latihan pemprosesan untuk memperkasakan sektor itu di Sarawak. 

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata menerusi pelbagai platform digital, ia juga dapat memperkukuh keterjaminan dan rangkaian makanan di negeri ini. 

‘Menerusi Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS), kita harap dapat mendidik petani kita untuk menggunakan platform digital bagi mempromosi dan memasarkan hasil pertanian dan ternakan. Penggunaan teknologi moden juga membantu memudahkan aktiviti pertanian.

“Justeru, kita berharap lebih banyak ekspo pertanian dianjurkan pada masa hadapan bukan sahaja untuk memasarkan produk segar dan hasil ternakan, tetapi juga bagi petani terlibat menjalin kerjasama dengan pemain industri seperti bank, syarikat import atau eksport hasil pertanian dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Ekspo Mini Pertanian Pertubuhan Peladang di sini hari ini. 

Ekspo berkenaan berlangsung di Bangunan PPNS selama tiga hari bermula hari ini hingga Ahad, melibatkan 45 pempamer daripada pelbagai sektor agrotani di sekitar Kuching dan Samarahan. 

Beliau turut menggesa pemilik tanah, khususnya tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) untuk bekerjasama dan mengusahakan tanah secara berkelompok bagi meningkatkan hasil dan menarik pelaburan dalam industri hiliran dalam pertanian.

‘Kerajaan juga sedang merancang untuk membangunkan industri lada dan komoditi lain ke peringkat lebih tinggi, memandangkan nilai tambah hasil pertanian Sarawak, khususnya lada mampu menjana pendapatan sehingga berbilion ringgit jika diproses secara hiliran,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan