AM

Pembayaran STR Fasa 3 Kepada 8.6 Juta Penerima Mulai Esok - PM Anwar

11/08/2025 10:17 AM

PUTRAJAYA, 11 Ogos (Bernama) -- Kerajaan akan menyalurkan pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa Tiga mulai esok, melibatkan peruntukan RM2 bilion sebagai langkah Kerajaan MADANI meringankan beban kos sara hidup isi rumah berpendapatan rendah.

Dalam satu kenyataan hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata 8.6 juta penerima bakal mendapat bantuan hingga RM650 menerusi STR Fasa Tiga, menunjukkan peningkatan sebanyak 300,000 penerima berbanding 8.3 juta penerima Fasa Satu pada Januari lepas.

Beliau berkata peningkatan penerima STR itu hasil daripada langkah Kerajaan MADANI membuka permohonan baharu dan rayuan sepanjang tahun bagi memastikan bantuan sampai kepada semua yang layak.

"Pembukaan permohonan dan rayuan sepanjang tahun menunjukkan Kerajaan MADANI tidak mengambil enteng amanah yang dipikul untuk meningkatkan maslahat rakyat terbanyak, agar tiada yang tercicir daripada mengecapi limpahan negara.

"Lebih daripada bantuan tunai semata-mata, STR memberi suntikan kepada penerima untuk mencapai kebebasan kewangan agar kita dapat menggapai kesaksamaan yang didambakan dalam Ekonomi MADANI," katanya.

Anwar berkata pembayaran STR Fasa Tiga akan dibuat kepada penerima sedia ada dan penerima baharu yang berdaftar dalam pangkalan data STR melalui pengkreditan ke dalam akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat mengikut kategori kelayakan masing-masing.

Sementara itu, menurut Kementerian Kewangan sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR  dimuktamadkan. 

Soalan lazim (FAQ) dan semakan status kelayakan STR boleh didapati di Portal Rasmi STR, melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan