KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini apabila data terkini inflasi Amerika Syarikat (AS) yang menunjukkan peningkatan membayangkan Rizab Persekutuan AS (Fed) akan mengekalkan kadar faedahnya.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 10.77 mata kepada 1,592.28 daripada paras penutup 1,603.05 pada Rabu.
Petunjuk pasaran itu dibuka rendah turun 1.07 mata kepada 1,601.98 dan bergerak antara paras 1,592.20 dan 1,605.48.
Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 573 berbanding 422 manakala 478 kaunter tidak berubah, 845 tidak diniagakan dan 23 digantung.
Jumlah dagangan menyusut kepada 2.56 bilion unit bernilai RM2.22 bilion daripada 3.15 bilion unit bernilai RM2.66 bilion pada Rabu.
Indeks Harga Pengguna (IHP) AS pada Januari meningkat sebanyak 0.5 peratus, merupakan peningkatan terbesar sejak Ogos 2023, manakala IHP teras naik 0.4 peratus.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata walaupun konsensus pasaran telahpun mengambil kira kemungkinan Fed mengekalkan kadar faedahnya, namun kenaikan ini telah mengukuhkan lagi jangkaan itu.
Selain itu, dengan Presiden Donald Trump dijangka mengumumkan tarif timbal balik lewat hari ini, peningkatan lagi ketegangan perdagangan boleh menjejaskan rantaian bekalan dan memberi impak terhadap sektor dipacu eksport, seterusnya memburukkan lagi ketidaktentuan pasaran.
Bagaimanapun, beliau berkata beberapa pasaran serantau menunjukkan tanda-tanda pemulihan apabila Trump bersetuju untuk memulakan rundingan dengan Presiden Rusia Vladimir Putin bagi menamatkan perang di Ukraine.
“Perkembangan ini menandakan peralihan ketara dalam dasar luar AS dan memberikan harapan ketegangan akan berakhir seterusnya dapat menambah baik sentimen risiko dalam pasaran,” kata Mohd Sedek.
Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, walaupun penurunan pasaran pada hari ini, dana asing akan kembali semula ke rantau ini berikutan pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh berbanding blok Barat.
Malaysia akan mengumumkan data ekonomi 2024 esok, yang dijangka lebih tinggi daripada anggaran awal 5.1 peratus, disokong oleh pertumbuhan 4.8 peratus pada suku keempat.
Kaunter saham wajaran tinggi menerajui saham paling rugi dengan CIMB susut 12 sen kepada RM8.28, Maybank turun lapan sen kepada RM10.52 dan Public Bank berkurangan lima sen kepada RM4.45.
SD Guthrie jatuh 11 sen kepada RM4.87 dan CelcomDigi menyusut enam sen kepada RM3.87.
Dalam kalangan kaunter paling cergas, Ingenieur Gudang dan Aizo tidak berubah, masing-masing pada 5.5 sen dan 12 sen.
RGB International menambah 2.5 sen kepada 46 sen, IJM Corp turun lapan sen kepada RM2.31 dan Harvest Miracle susut 1.5 sen kepada 14.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 64.98 mata kepada 12,127.14, Indeks FBMT 100 turun 65.99 mata kepada 11,829.37 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 44.91 mata kepada 11,933.09.
Indeks FBM 70 turun 44.94 mata kepada 17,935.35 manakala Indeks FBM ACE meningkat 1.93 mata kepada 5,219.24.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menyusut 189.16 mata kepada 19,245.24, Indeks Perladangan turun 34.89 mata kepada 7,481.65 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.10 mata kepada 164.17.
Indeks Tenaga naik 0.09 mata kepada 818.36.
Jumlah dagangan Pasaran Utama menyusut kepada 1.27 bilion unit bernilai RM1.93 bilion daripada 1.79 bilion unit bernilai RM2.39 bilion pada Rabu.
Jumlah dagangan waran meningkat kepada 939.34 juta unit bernilai RM109 juta daripada 870.64 juta unit bernilai RM101.43 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE menyusut kepada 348.98 juta unit bernilai RM129.70 juta daripada 487.90 juta unit bernilai RM173.12 juta.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 227.69 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (280.48 juta), pembinaan (123.36 juta), teknologi (141.40 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (68.86 juta), hartanah (134.86 juta), REITs (15.74 juta), dana tertutup (6,500), tenaga (112.08 juta), penjagaan kesihatan (64.67 juta), telekomunikasi dan media (26.94 juta), pengangkutan dan logistik (16.52 juta), utiliti (39.86 juta), dan amanah perniagaan (22,300).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial