JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Tempatan Ditahan Di Thailand Disyaki Ada Rangkaian Sindiket Tempatan - Polis

12/11/2025 04:46 PM

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengenal pasti rangkaian sindiket melibatkan seorang lelaki tempatan yang ditahan pihak berkuasa Thailand di negara jiran itu bersama 75 kilogram (kg) dadah jenis ketamin di dalam kereta dipandunya pada Khamis lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata pihaknya percaya lelaki berusia 25 tahun itu mempunyai rangkaian sindiket di negara ini. 

“JSJN sedang mengenal pasti dan mencari rakan-rakan beliau yang dipercayai terlibat dalam sindiket itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Hussein berkata ketika ini lelaki berkenaan masih berada dalam tahanan pihak berkuasa Thailand dan PDRM sedang menunggu keputusan siasatan pihak berkuasa negara jiran itu sebelum mengambil tindakan susulan termasuk membawa pulang suspek ke negara ini.

Isnin lepas, Hussein memaklumkan suspek terbabit ditahan ketika sekatan jalan raya di Wilayah Chumphon dengan rampasan 75kg dadah jenis ketamin yang ditemukan di dalam kereta dipandunya pada 6 Nov.

Media Thailand melaporkan suspek ditahan dalam operasi oleh Biro Pembanterasan Narkotik Polis (PNSB) Thailand bersama-sama Polis Wilayah Chumphon di sekatan jalan Mukim Hong Charoen, daerah Tha Sae, Wilayah Chumphon di Selatan Thailand.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan