EKONOMI

Malaysia Sasar Lengkapkan Pelan Tindakan Teknologi AI Dalam 12 Bulan - PM Anwar

01/10/2024 01:39 PM

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Malaysia menyasarkan untuk melengkapkan Pelan Tindakan Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam tempoh 12 bulan akan datang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata ini adalah satu daripada dapatan utama berkaitan teknologi yang disasarkan dalam tempoh berkenaan, dan berharap sasaran itu mampu dicapai lebih awal.

“Apabila saya kata 12 bulan, ia cadangan menteri, bagi saya tiada sebab untuk tunggu 12 bulan, sepatutnya enam bulan boleh siap,” katanya ketika berucap pada majlis Mantap Malaysia Bersama AI, A Google For Malaysia Event di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Digital Gobind Singh Deo dan Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Anwar berkata kerajaan juga akan mempercepatkan penggunaan teknologi AI dalam sektor-sektor utama di seluruh Malaysia, sambil menyatakan bahawa dengan menerima teknologi tersebut, agensi-agensi kerajaan dapat mengoptimumkan proses, mengurangkan kos, dan memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.

"Contoh ketara ialah penciptaan platform DELIMa oleh Kementerian Pendidikan melalui teknologi awan Google. Saya telah melihatnya, ia sangat mengagumkan dan memberi sumbangan besar dalam meningkatkan standard pendidikan serta mengubah pengalaman pendidikan.

"Saya gembira untuk menyatakan bahawa 5.5 juta pelajar dan guru di Malaysia hari ini menggunakan platform DELIMa. Usaha ini wajar dicontohi oleh seluruh jentera kerajaan, di mana sesuai, saya akan membangkitkan isu ini dalam mesyuarat Kabinet esok (Rabu)," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan