IPOH, 1 Mei (Bernama) -- Polis akan melaksanakan beberapa penutupan dan lencongan jalan di sini bagi memberi laluan kepada acara raptai dan perarakan perbarisan Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2024, selama tiga hari bermula esok.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata penutupan dan lencongan jalan itu akan bermula dari 6.30 pagi hingga 12 tengah hari melibatkan laluan di sekitar bandar raya Ipoh.
“Ia melibatkan laluan utama Dataran Sunway, Tambun (pengaktifan laluan dua hala Tambun-Tanjung Rambutan) dan laluan alternatif ke Banjaran dan Sunway Onsen,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata jalan alternatif yang boleh digunakan semasa penutupan dan lencongan jalan adalah Jalan Perpaduan dan Jalan Bercham.
"Sehubungan itu, pengguna jalan raya khususnya warga Ipoh dinasihatkan supaya merancang perjalanan dan memilih laluan alternatif bagi mengelakkan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas semasa penutupan dan lencongan jalan dilaksanakan," katanya.
Perak dipilih sebagai tuan rumah sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2024 peringkat kebangsaan yang akan berlangsung pada 4 Mei ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial