EKONOMI

Malaysia Tawar Persekitaran Kondusif Bagi Pemula Niaga Untuk Berkembang Maju - Infobip

15/04/2024 10:26 AM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) - Infobip, syarikat unicorn teknologi dari Croatia, menjadikan Malaysia sebagai habnya bagi rantau Asia Pasifik kerana negara ini menawarkan persekitaran yang kondusif bagi syarikat pemula niaga terutamanya dari segi infrastruktur teknologi, kata presiden bagi hasil antarabangsanya, Ante Pamukovic.

Beliau berkata syarikat komunikasi awan itu kurang dikenali ketika ia mula beroperasi di Malaysia 14 tahun lalu, tetapi sokongan yang diterima membolehkannya berkembang secara beransur-ansur.

“Kami kini menjadikan Malaysia sebagai hab operasi Infobip bagi rantau Asia Pasifik,” katanya kepada Bernama.

Syarikat unicorn merupakan pemula niaga yang mempunyai nilai lebih US$1 bilion.

Menjelas lanjut, Pamukovic berkata  infrastruktur teknologi Malaysia dengan bidang teknologi khusus seperti Cyberjaya membolehkan syarikat pemula niaga mempunyai operasi dan pengurusan yang lancar.

“Dari perspektif logistik, adalah mudah untuk melakukan perjalanan di rantau ini dari Malaysia,” katanya.

Sementara itu naib presiden dan pengurus besar Infobip bagi rantau Asia Pasifik dan Eurasia, Ruslana Reznikova berkata Malaysia efektif dari segi kos untuk menjalankan perniagaan dan membantu syarikat pemula niaga seperti Infobip untuk berkembang di seluruh rantau.

Mengenai rancangan syarikat pada masa depan beliau berkata Infobip sedang dalam proses untuk mewujudkan dana khas bagi syarikat pemula niaga.

“Kami senang berada di sini dan kami mahu terus menyokong ekosistem pemula niaga. Oleh itu, pada masa ini, kami sedang berbincang dengan beberapa pihak berkepentingan utama untuk menggerakkan idea ini dan Infobip akan memainkan peranan membiayai dan membimbing syarikat baharu di arena ini,” katanya.

Ketika ini syarikat itu mempunyai 85 kakitangan di ibu pejabat baharunya yang terletak di Menara Integra.

Untuk rekod, Malaysia beraspirasi untuk menjadi hab digital serantau dan telah membuktikan dirinya sebagai destinasi pelaburan yang menarik dalam rantau Asean.

Menurut statistik daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) setakat November 2023, terdapat sejumlah 1,428 projek dengan cadangan pelaburan sebanyak RM72.3 bilion dalam perancangan.

Sementara itu, sebanyak RM71.4 bilion pelaburan diluluskan direkodkan pada separuh pertama 2023. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan