NEW DELHI, 14 April (Bernama) -- India dan Pakistan pada Ahad menyeru supaya suasana tegang di Asia Barat dapat dikendurkan selepas Iran menyerang Israel dengan dron dan misil sebagai tindak balas kepada serangan Israel ke atas Kedutaan Iran di Damsyik, Syria.
"Kami amat bimbang dengan peningkatan persengketaan antara Israel dan Iran yang mengancam keselamatan dan keamanan di rantau itu. Kami menyeru supaya suasana tegang ini dapat dikendurkan dengan segera , menahan diri, berundur daripada melakukan keganasan dan kembali kepada jalan diplomasi, “kata Kementerian Luar India dalam satu kenyataan pada Ahad.
Kami memantau dengan rapi perkembangan situasi berkenaan. Kedutaan kami di rantau itu memang berhubung rapat dengan komuniti India di sana,” katanya.
Pakistan yang mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas Kedutaan Iran di ibu negara Syria berkata pada Ahad ia sedang memerhatikan perkembangan di Timur Tengah dengan penuh kebimbangan.
Perkembangan terkini itu menekankan wujud implikasi serius yang mana Majlis Keselamatan PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) tidak dapat memenuhi tanggungjawabnya untuk menjamin keselamatan dan keamanan di peringkat antarabangsa," kata Kementerian Luar Pakistan.
"Sekarang adalah amat penting untuk menstabilkan keadaan dan mengembalikan semula keamanan. Kami menggesa semua pihak untuk menahan diri dan bergerak ke arah mengendurkan suasana tegang itu,” katanya.
Kor Pengawal Revolusi Iran berkata ia melancarkan serangan misil dan dron ke arah kedudukan rejim Zionis sebagai tindak balas kepada pelbagai serangan Israel termasuk pengeboman Kedutaan Iran di Damsyik pada 1 April lepas.
Perutusan Tetap Iran ke PBB menyatakan serangan ke atas Israel itu merupakan tindakan membela diri berdasarkan Perkara 51 Piagam PBB dan mengkritik Majlis Keselamatan PBB yang senyap membisu dan tidak bertindak langsung, selain gagal mengecam serangan rejim Israel.
Iran memberi amaran tindak balas yang lebih serius akan diambil sekiranya Israel menyerangnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial