AM

Hongkod Avenue Produk Pelancongan Baharu Ketengahkan Kraf, Makanan Sabah

13/04/2024 09:17 PM

PENAMPANG, 13 April (Bernama) -- Perasmian gerai Hongkod Avenue  di sini hari ini merupakan mercu tanda terbaru bagi pelbagai makanan dan kraf tradisional serta inisiatif untuk memelihara warisan Sabah.

Hongkod Avenue bernilai RM1.2 juta itu menyediakan 22 gerai makanan dan 12 gerai kraf tangan yang dibina di pekarangan Dewan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di sini.

Presiden KDCA Tan Sri Joseph Pairin Kitingan ketika berucap merasmikan majlis pembukaan Hongkod Avenue di sini hari ini berkata ia bakal menjadi produk pelancongan negeri itu.

“Kita perlukan satu pusat untuk mempromosikan bukan saja kekuatan budaya tetapi juga untuk mempromosikan makanan dan kraf tradisional di Sabah. Saya berharap Hongkod Avenue akan menjadi satu tarikan pelancongan, sekali gus membantu mempertingkatkan lagi ekonomi di Sabah,” katanya.

Pembukaan gerai-gerai di Hongkod Avenue ini menandakan acara yang bersejarah kerana pembukaannya tepat pada masanya untuk Pesta Kaamatan bulan depan.

“Hongkod Avenue akan menawarkan pengalaman membeli-belah baharu untuk penduduk tempatan dan pelancong. Dengan pelbagai jenis makanan yang lazat dan kraf tangan, Hongkod Avenue akan menjadi tempat yang baik untuk menikmati citarasa yang berbeza dan meneroka budaya tempatan.”

Beliau berkata KDCA sedang memulakan perjalanan untuk menjadikan Hongkod Koisaan pusat dinamik di mana semua orang boleh berkumpul.

“Ia bukan hanya sekadar mengenai penambahbaikan fizikal tetapi juga menjadikan Hongkod Koisaan tempat di mana keluarga dan rakan boleh berkumpul untuk menikmati makanan, membina kenangan, berkongsi memori, dan menikmati keindahan tradisi kami,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan