FOKUS BERNAMA

Beruntungnya "Si Bulus" Jalanan Di Sepang, Ada PBT Cakna

12/04/2024 12:24 PM
Daripada Noor Hayati Muda

Masing-masing mungkin mempunyai naratif duka tersendiri yang tidak dapat diungkap kepada manusia, namun kesemuanya berkongsi nasib sama - hidup di jalanan dan hanya bergantung harap pada ihsan manusia.

Ihsan manusia juga yang membawa mereka ke  sini - Taman Kucing Cyberjaya kendalian Majlis Perbandaran Sepang (MPS), sekali gus memberi “si bulus” jalanan ini peluang kedua untuk hidup sebagai haiwan kesayangan keluarga. 

Jika dulu tubuh melidi dipenuhi kurap atau mengalami cirit-birit dan buasir sehingga terkeluar usus, kini kucing-kucing jalanan yang diselamatkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) itu bukan sahaja sihat tetapi juga montel dan manja, hasil penjagaan rapi petugas yang komited terhadap kebajikan haiwan terbabit.

Mengintai di balik jaring bangunan berdinding separa bata merah yang menempatkan mereka, antaranya adalah si Oyen yang “terlebih” mesra, kakaknya si Nur Ain yang suka menunjuk-nunjuk - akan berlari ala maraton di atas roda berpusing apabila ada pengunjung - atau Ais Krim yang gemar memanjat dan duduk di atas pokok hingga berjam-jam lamanya.

pic-2

Bersifat serampang dua mata, kewujudan taman kucing ini yang dicetuskan oleh Yang Dipertua MPS Datuk Abd Hamid Hussain, bukan sahaja memastikan kawasan tumpuan awam seperti medan selera dan pusat penjaja di daerah Sepang bebas kucing jalanan, tetapi turut menjamin kebajikan haiwan terbabit.

 

PENDEKATAN TNA 

Dibina secara integrasi dengan landskap sedia ada di atas kawasan seluas 0.32 hektar, Taman Kucing Cyberjaya terletak di lokasi yang strategik, iaitu menghadap tasik dan menjadi sebahagian daripada tarikan orang awam yang datang beriadah di Taman Tasik Cyberjaya, khususnya pada hujung minggu.

Beroperasi sejak Mac 2023, taman kucing ini diuruskan oleh Jabatan Landskap MPS, dan hingga kini berjaya menyelamatkan dan melindungi sekitar 100 ekor kucing jalanan dengan 75 daripadanya telahpun diambil oleh orang awam untuk dipelihara.

pic-3

Menurut Pengarah Jabatan Landskap MPS Arefah Rahim, taman itu menggunakan pendekatan TNA, - tangkap, mandul dan adopsi - iaitu menyerahkan kucing yang telah dirawat dan dimandulkan kepada mereka yang berminat menjadikan si bulus terbabit haiwan kesayangan mereka.   

“Menerusi kaedah ini, kami dapat pastikan kucing yang kami selamatkan tidak kembali terbiar di jalanan. Malah, orang yang datang untuk adopt kucing ini juga disaring oleh kami dan data mereka direkodkan dalam sistem e-Cat yang kami bangunkan,” jelasnya ketika ditemui Bernama.

Bercerita lanjut tentang operasi taman itu, Arefah berkata kucing yang ditangkap terlebih dahulu dikuarantin selama dua minggu bagi memastikan haiwan berkenaan tidak membawa sebarang penyakit yang boleh menjangkiti kucing lain.

“Bagi yang ada penyakit seperti kurap, kita akan rawat dahulu. Selepas semuanya okey, termasuk divaksinasi dan dimandulkan, barulah kita pindahkan kucing terbabit ke bangunan utama, iaitu sedia untuk adoption,” kongsinya.

Di bangunan utama yang dilengkapi kipas angin, makanan kering yang sentiasa tersedia serta air pancur mini sebagai sumber air minum, kucing-kucing terbabit dibiarkan bebas. Masing-masing ada kegemaran, sama ada tidur di atas menara bertingkat atau bermain dengan alat mainan yang disumbang oleh orang awam.

“Lazimnya kami akan lepas keluar kucing-kucing ini untuk bermain di dalam kawasan taman sekurang-kurangnya seminggu sekali. Biasanya pada waktu pagi. Kami buat begini atas nasihat pegawai veterinar,” sambung beliau, menambah kucing-kucing terbabit akan masuk sendiri ke dalam bangunan itu selepas beberapa ketika.

“Tapi ada jugalah seekor dua yang suka panjat pokok dan enggan turun. Jenuh jugalah menunggu mereka turun,” katanya, ketawa.

   

PANDANGAN PAKAR

Bercerita lanjut, Arefah berkata MPS mendapatkan pandangan pakar dalam kesemua aspek penubuhan taman itu - dari peringkat awal pembinaan hinggalah kepada penguburan kucing yang mati akibat penyakit.

“Reka bentuk taman ini dirangka oleh kami sendiri, iaitu oleh penyelia taman Munira Amuary, selepas mendapatkan pandangan pakar. Dari segi kesihatan kucing-kucing ini pula, kami lantik klinik veterinar sebagai panel kami yang datang melakukan pemeriksaan dua kali seminggu.

“Sebenarnya perkhidmatan veterinar ini adalah dalam bentuk 24 jam, tujuh hari seminggu, iaitu doktor veterinar sentiasa on-call, sebab kita mahu kucing-kucing ini dirawat segera jika ada kecemasan,” jelasnya, menambah makanan yang diberikan juga adalah atas nasihat pegawai veterinar.

Berkenaan tapak perkuburan pula, Arefah berkata taman itu menggunakan kaedah penguburan di dalam pembentung atau culvert.

Kami gali lubang sedalam tiga meter dan masukkan dua buah culvet secara menegak (seakan perigi).

“Nak tanam pun ada cara bagi memastikan virus dan kuman tidak tersebar, iaitu dilapisi dengan kapur, arang dan diakhiri dengan tanah. Ini juga akan mengelakkan bau,” katanya, menambah setakat ini hanya seekor kucing yang diselamatkan mereka mati, iaitu akibat penyakit leukemia.

Menurut beliau, kesemua kakitangan di taman itu adalah mereka yang suka kucing, sekali gus memudahkan lagi penjagaan haiwan terbabit.

pic-5

“Semasa penubuhan taman ini, kita buka tawaran kepada staf yang berminat dan kita saring pemohon agar semua yang terlibat dengan taman ini adalah mereka yang suka kucing. Alhamdulillah, kita ada ‘pakar’ kucing, iaitu Muhammad Ramdzan Johari selaku ketua pekerja di sini. Beliau dibantu oleh Khairul Anuar Md Rashid.

“Saya katakan pakar kerana Ramdzan boleh kenal pasti kucing yang sedang bunting, sakit dan sebagainya. Malah, isteri beliau menjalankan perniagaan perapian dan ‘hotel’ kucing,” ujar Arefah yang mempunyai tiga ekor kucing di rumah. 

 

HANYA KUCING JALANAN

Bagi memastikan objektif MPS tercapai, taman itu hanya mengambil kucing jalanan yang ditangkap di kawasan awam.

“Kami tidak akan terima jika ada orang datang serahkan kucing mereka. Masa awal-awal dulu ada yang datang letak di depan pagar kami. Tidak kurang juga yang datang buang begitu sahaja pada sebelah malam.

“Isu ini memaksa kami naikkan papan tanda amaran bahawa kawasan ini dipantau oleh kamera litar tertutup serta menampal notis denda yang boleh dikenakan kepada pelaku. Sejak itu, tiada lagi kes kucing dibuang di sini,” ceritanya.

Taman itu berkapasiti menampung hingga 300 ekor kucing pada satu-satu masa, namun buat masa ini hanya ada sekitar 30 ekor.

“Isu yang kami hadapi ialah orang awam tidak melaporkan kepada kami kawasan yang ada kucing jalanan. Tanpa laporan daripada masyarakat, kami tidak akan dapat bertindak,” jelas beliau yang mengharapkan orang ramai lebih proaktif dalam membantu usaha MPS itu.

“Setiap kali kami adakan program, aspek ini antara yang kami tekankan, iaitu maklumkan kepada kami jika tahu lokasi kucing jalanan (di Sepang),” tambahnya.

pic-6

Ditanya tentang kos operasi, beliau berkata taman itu memerlukan sekitar RM70,000 setahun meliputi kos penjagaan, makanan dan rawatan.

“Buat masa ini peruntukan disediakan oleh MPS, namun kita mengalu-alukan sumbangan orang ramai. Untuk memudahkan orang ramai menyumbang, sama ada makanan ataupun wang, kami sediakan kios dan juga kod QR.

“Saya  lihat penggunaan kod QR ini amat membantu kerana sumbangan yang diterima meningkat saban bulan. Hal ini mungkin disebabkan mereka yang pada asalnya datang berjoging, tetapi apabila melihat ada taman kucing di sini maka turut menyumbang walaupun hanya seringgit, dua,” katanya. 

 

SERTAI PROGRAM CSR

Sekalipun buat masa ini kos operasi ditanggung sepenuhnya oleh MPS dan mungkin tidak mampan dalam jangka panjang, Arefah berkata keputusan untuk tidak melibatkan pihak ketiga dalam usaha itu bertujuan mengelakkan pengkomersialan.

“Kami tahu, sebaik sahaja ada pihak ketiga sertai kami, sama ada sebagai penaja atau penaung, maka akan wujud aspek komersial, dan ini bertentangan dengan prinsip kami yang tidak bersandarkan keuntungan.

“Bagaimanapun alhamdulillah, setiap kali kami adakan program, ada sahaja pihak yang bersetuju menyumbang. Pernah pada satu acara kami menerima ikrar sumbangan berjumlah RM70,000 daripada syarikat-syarikat korporat,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, usaha MPS itu juga menerima sokongan padu Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin yang sememangnya diketahui umum sebagai pencinta haiwan.

“Tuanku berkenan berangkat merasmikan taman ini pada 18 Mac 2023. Malah, ada yang berminat hendak memelihara kucing yang tuanku pegang semasa majlis itu dan menawarkan RM10,000 kepada kami.  Namun kami putuskan untuk tidak serahkan kucing bernama Luna ini kepada pihak yang berkenaan,” kongsi beliau.

Menurut Arefah, selain menerima kunjungan orang ramai di taman itu, mereka turut menyertai program tanggungjawab sosial korporat dan hari terbuka bagi meningkatkan kesedaran orang ramai tentang projek MPS tersebut.

“Dalam tempoh setahun lalu, kami ada sertai dua program sedemikian dan pada kedua-dua program ini kami bawa 10 ekor kucing masing-masing. Alhamdulillah, kami bawa balik sangkar kosong - kesemua kucing berjaya ditempatkan dengan tuan baharu,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata inisiatif MPS itu turut mendapat perhatian PBT lain yang bercadang menjalankan program serupa, antaranya ialah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Majlis Bandaraya Diraja Klang.

“Setakat ini kami menerima kunjungan daripada 11 agensi yang berminat membuat projek serupa dan saya difahamkan ada yang akan melibatkan syarikat pemaju hartanah,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya tentang kucing yang meninggalkan kesan mendalam kepadanya, Muhammad Ramdzan, 36,  membuka cerita tentang Mak Tam yang datang dengan parut besar pada bahagian kiri perut.

“Mak Tam datang ke sini dengan parut kekal (tidak ada bulu) yang mungkin disebabkan terkena air atau minyak panas. Tapi alhamdulillah, ada orang nampak ‘kecantikan’ kucing ini dan adopt walaupun agak lama ia tinggal di sini.

“Si Oyen, Nur Ain dan Ci Ci pula lahir di taman ini. Ibu mereka bernama Daisy, dan pada 23 Mac lepas Daisy juga diambil orang selepas hampir setahun di sini.

“Kemudian kita ada Ais krim - dinamakan sedemikian sebab mempunyai tiga warna macam ais krim. Yang ini nakal, suka panjat pokok dan pernah sekali berjaya menyusup keluar. Kami cari sampai malam tapi tidak jumpa. Esok pagi semasa saya datang untuk bekerja, saya nampak dia tunggu dekat pagar,” ceritanya sambil ketawa.

pic-4

Dalam pada itu, Muhammad Ramdzan mengaku adakala beliau berasa bimbang untuk menyerahkan kucing-kucing berkenaan kepada keluarga baharu mereka.

“Ada seorang lelaki datang nak ambil kucing. Luarannya seakan gengster, membuatkan saya cuak untuk menyerahkan kucing yang dimahukan. Akan tetapi, kita perlu ketepikan perasaan itu agar wujud ‘kekosongan’ yang dapat kita ‘isi’ dengan kucing jalanan di luar sana,” ujarnya yang mempunyai 17 ekor kucing di rumah.

Menurut Munira pula, mereka yang datang mengambil kucing di taman itu bukan sahaja dari Lembah Klang tetapi juga dari negeri lain seperti  Pulau Pinang dan Melaka.

“Untuk adopt kucing-kucing ini, kami kenakan bayaran RM150, iaitu bagi menampung kos vaksin, nyahcacing dan pemandulan. Menurut orang ramai, kos itu murah berbanding pusat lain,” katanya.

Taman Kucing Cyberjaya dibuka kepada umum dua hari seminggu, iaitu pada Rabu dan Ahad termasuk hari cuti umum. Untuk hari Rabu, taman dibuka dari 9 hingga 11 pagi dan 2 hingga 4 petang, sementara pada hari Ahad dan cuti umum pula dari pukul 9 hingga 11 pagi dan 4 hingga 6 petang. 

pic-7

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan