KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Lembaran imbangan ekonomi ASEAN "teguh" di tengah-tengah tekanan yang berterusan daripada trend ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan kenaikan kadar faedah sejak dua tahun lepas, kata Pengurus Portfolio Ekuiti Eastspring Investments Asia Sundeep Bihani.
Beliau berkata ASEAN akan terus merasakan tekanan daripada kesan yang ditinggalkan susulan langkah memperketat mudah tunai yang berlaku di AS dan kekukuhan dolar AS selain kadar faedah yang tinggi tahun ini.
“Bagaimanapun, apabila kadar AS mula menurun, ASEAN sewajarnya meraih manfaat yang besar, iaitu pada separuh kedua tahun ini atau tahun depan, tetapi bergantung kepada beberapa isu yang melanda AS.
"Apabila keadaan ini berlaku, ekonomi ASEAN akan cerah kerana dunia akan mula menumpukan kepada ekonomi, lembaran imbangan, dan AS pada masa itu akan mula menyaksikan minat yang semakin pudar," katanya dalam webinar bertajuk Beyond the boardroom: Positioning for Asia’s longer-term re-rating hari ini.
Beliau berkata pada tahun ini, tumpuan dan peluang masih terdapat di ASEAN dan menjangkakan ia semakin meningkat tahun depan.
Sementara itu, Ketua Ekuiti Eastspring Investments bagi China, Michelle Qi berkata pasaran China dilihat merosot, terutama selepas jualan mudah tunai secara besar-besaran pada akhir Januari.
“Malah pada masa ini, sekiranya kita melihat penilaian ekuiti China berbanding dengan pasaran pesat membangun, potongan ini hampir pada paras terendah sepanjang masa.
“Melihat kepada ekonomi, saya berpandangan bahawa satu-satunya aspek yang masih dibimbangkan adalah sektor hartanah. Jualan rumah baharu pada April adalah perlahan. Bagaimanapun, saya berpendapat jika anda merujuk angka perindustrian baru-baru ini, perubahan struktur dilihat sedang berlaku," kata Qi.
Beliau berkata ekonomi China perlahan-lahan berubah daripada berpacukan pelaburan hartanah ke arah lebih berpacukan sektor pembuatan berikutan keteguhan ekonomi global yang membolehkan pengeluar China mengeksport ke peringkat global dan menikmati manfaat daripada pemulihan global.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial