EKONOMI

Haier Sasar Pertumbuhan 45 Peratus Tahun Ke Tahun Di Malaysia Tahun Ini

09/04/2024 11:08 AM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

SHANGHAI, 9 April (Bernama) -- Syarikat perkakasan rumah dan elektronik pengguna multinasional China, Haier Group Corporation menyasarkan untuk mencapai pertumbuhan 45 peratus tahun ke tahun di Malaysia tahun ini.

Pengarah Urusan Haier Malaysia Fan Jing berkata syarikat optimis untuk mencapai sasaran menjelang akhir tahun ini berikutan rangkaian produk yang akan diperkenalkan tahun ini.

"Pada tahun lepas, Haier Malaysia mencatat pertumbuhan 14 peratus tahun ke tahun berbanding dengan 2022. Oleh itu, kami yakin mengenai rangkaian produk yang teguh tahun ini.

"Haier mempunyai kelebihan tersendiri kerana dapat menyesuaikan dengan pasaran berbeza; kami akan mengeluarkan produk baharu di peringkat global.

“Keutamaan kami adalah pengguna, dan pasukan pembangunan kami menghasilkan produk yang tepat untuk disesuaikan dengan setiap rakyat Malaysia serta memadankan titik harga dan segmen pasaran berbeza," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata baru-baru ini Haier melancarkan penyaman udara dengan wifi, selaras dengan peringkat awal pembuatan produk rumah pintarnya.

Haier akan memperkenalkan mesin basuh dan dispenser air pada tahun ini selain pendingin wain baharu pada Jun.

"Kami akan menumpukan kepada beberapa strategi tahun ini; membangunkan produk terbaik dan meningkatkan kebolehcapaian produk (di kedai runcit). Bagi inisiatif pemasaran, Haier berbangga mempunyai Soh Wooi Yik dan Aaron Chia sebagai duta jenama kami.

“Kami telah melanjutkan kontrak kami dengan mereka (Soh Wooi Yik dan Aaron Chia) tahun ini. Kami bersama-sama dengan mereka kerana mereka adalah pemenang; mereka tidak pernah berputus asa.

"Ia sama dengan kami (di Haier). Kami tidak berputus asa dengan jenama kecil dan kini kami berusia 40 tahun," katanya. Haier diasaskan pada 26 Dis 1984.

Selain itu, katanya Haier Malaysia memberi tumpuan kepada pemasaran sukan. Ia berhasrat memperluas pertandingan badminton seperti Piala Haier Amatur Tempatan 2024. Edisi kedua pertandingan ini dijangka bermula pada Mei 2024.

"Kami juga telah melabur untuk mendekati orang ramai menerusi pengiklanan luar dan kempen LRT serta pada platform digital.

"Kami juga berhasrat untuk memantapkan dan memperkuat perkhidmatan selepas jualan dengan meningkatkan pusat perkhidmatan selepas jualan dan rangkaian kami di Malaysia Barat, Sabah dan Sarawak. Ia bagi memudahkan pelanggan sekiranya berlaku masalah. Inilah strategi kami untuk 2024," katanya.

Haier dijual menerusi hampir 2,000 kedai runcit di seluruh negara. Syarikat itu mengimport produk secara terus dari China. Ia tidak mempunyai kilang di Malaysia dan tiada rancangan terdekat untuk melakukannya.

Haier Malaysia yang ditubuhkan pada 2002 menawarkan rangkaian meluas produk dalam pelbagai kategori seperti peti sejuk, penyejuk beku, mesin basuh, penyaman udara, televisyen dan perkakasan dapur.

Haier telah diperakui sebagai Jenama Perkakas Utama No.1 Global selama 15 tahun berturut-turut sejak 2009 (Sumber: Euromonitor International Limited).

Ia juga mempunyai keistimewaan tersendiri sebagai yang pertama dan satu-satunya jenama ekosistem Internet Pelbagai Benda (IoT) yang berada pada kedudukan 100 terbaik Jenama Global Paling Bernilai BrandZ.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan