AM

Pemandu Pelancong Meninggal Dunia Ditimpa Batu Di Ipoh

09/04/2024 12:11 AM

IPOH, 8 April (Bernama) -- Seorang pemandu pelancong meninggal dunia akibat ditimpa batu di kawasan Perkampungan Riadah dan Budaya Qing Xin Ling, Taman Saikat, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad dalam kenyataan malam ini berkata pihaknya menerima makluman orang awam mengenai kejadian itu pada kira-kira 11.30 pagi.

Beliau berkata hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa yang berusia 44 tahun sedang membawa pelancong dari Vietnam ke Ipoh.

“Semasa berada di tempat kejadian, satu bongkah batu telah terjatuh dan mengenai kepala mangsa, menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Abang Zainal Abidin berkata hasil pemeriksaan pakar forensik perubatan Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh mendapati punca kematian disebabkan kecederaan kepala setelah ditimpa batu.

"Pemeriksaan lanjut ke atas badan si mati, tidak menjumpai sebarang unsur jenayah. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ipoh di talian 05-2542222 bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan