SANDAKAN, 27 Mac (Bernama) -- Program berbuka puasa melibatkan komuniti termasuk ahli masjid dan sukarelawan bersama prospek atau banduan di Institusi Penjara Sandakan di sini hari ini, boleh diperluaskan ke institusi penjara lain di Sabah.
Timbalan Pengarah Penjara Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Abd Rauf Lang Pasih berkata selain berimpak tinggi dan merapatkan ukhuwah, inisiatif itu turut menampilkan kelainan kerana pada kebiasaannya program yang diadakan berbentuk pemulihan dalam komuniti, tetapi program hari ini menerap konteks komuniti menyumbang kepada penjara iaitu pemulihan dalam fasiliti penjara.
"Hari ini saya nampak penjara Sandakan telah melakukan itu, jarang berlaku, jadi saya harap dengan penganjuran sebegini rupa, maknanya memasyarakatkan penjara itu, penghuni itu satu anjakan baharu, yang positif.
"Juga selari dengan aspirasi Jabatan Penjara Malaysia yang disebutkan penjara ini merupakan tempat pembangunan budaya kemanusiaan itu sendiri, meskipun penganjuran yang berbeza kaedahnya," katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa peringkat prospek Institusi Penjara Sandakan di sini hari ini.
Dalam pada itu katanya program berbuka puasa merupakan satu daripada program tahunan di bawah program pemulihan insan yang dilaksanakan di seluruh institusi penjara di negara ini, bertujuan mewujudkan semangat kekeluargaan antara penghuni serta kakitangan penjara yang bertugas.
Pada majlis itu penghuni penjara Sandakan turut membuat bayaran zakat bernilai RM1,425 kepada Pusat Zakat Sabah Majlis Ugama Islam Sabah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial