MUKAH, 24 Mac (Bernama) -- Seramai 942 penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dalat menarik nafas lega kerana boleh menunggang motosikal pada Aidilfitri ini tanpa dihantui rasa takut dikenakan saman kerana kini sudah memiliki lesen memandu yang sah.
Mereka merupakan peserta Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 (MyLesen) yang dikendalikan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak.
Lesen tersebut disampaikan semasa majlis penutupan program itu hari ini yang disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah di Stadium Perpaduan Dalat.
“Seramai 738 peserta yang mengikuti program ini adalah dari Dalat/Oya manakala selebihnya adalah dari Mukah, Igan dan Matu/Daro,” kata Pengarah JPJ Sarawak Norizan Jili.
Menurutnya daripada keseluruhan peserta program tersebut sebanyak 10 peratus adalah dalam kalangan warga emas yang menunggang motosikal tanpa lesen antara 30 hingga 40 tahun manakala sebahagian besar peserta adalah golongan muda seawal usia 17 tahun.
Menurutnya, antara faktor yang mengakibatkan mereka terpaksa menangguh hasrat untuk mengambil lesen memandu institut memandu (IM) adalah disebabkan kos mahal iaitu antara RM600 hingga RM700 bagi kelas B2.
“Tetapi kita bersyukur kerana dengan adanya program MyLesen ini selepas 40 tahun akhirnya mereka (warga emas) dapat lesen memandu. Program ini ditawarkan dengan diskaun khas sehingga kos hanya RM250,” jelasnya.
Norizan berkata Program MyLesen JPJ memberi pendedahan serta pendidikan mengenai peraturan lalu lintas yang sentiasa perlu dipatuhi selain kaedah pemanduan berhemah kepada peserta.
Beliau mengingatkan peserta yang telah berjaya mendapatkan lesen memandu tersebut supaya menjadi penunggang yang berhemah dan memberi amaran peserta muda yang telah mendapatkan lesen memandu kelas B2 itu tidak merempit kerana jika didapati melakukan kesalahan tersebut lesen mereka akan digantung.
“JPJ tidak akan berkompromi dan saman JPJ tidak ada diskaun,” katanya.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial