AM

Sesb Laksana Catuan Elektrik Di Sabah Dan Labuan

23/03/2024 11:01 PM

KOTA KINABALU, 23 Mac (Bernama) -- Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) melaksanakan catuan bekalan elektrik berjumlah 128 megawatt (MW) untuk grid elektrik Sabah dan Labuan pada hari ini dan esok berikutan penutupan kecemasan sebuah stesen janakuasa bebas (IPP).

SESB dalam kenyataan di laman Facebooknya memaklumkan bahawa situasi itu menyebabkan berlaku kekurangan kapasiti penjanaan sebanyak 967MW berbanding permintaan ketika waktu puncak pada pukul 7 malam tadi iaitu 1,001MW.

“Margin rizab bekalan elektrik berada pada tahap 0MW. SESB memohon maaf kepada pengguna dan sedang berusaha menyelesaikan situasi berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan tambahan, SESB memaklumkan 15.5 peratus pengguna terlibat dengan catuan itu pada satu-satu masa dan dijalankan mengikut penggiliran di kawasan terlibat.

Kawasan terlibat catuan itu ialah di Kudat, Pitas, Kota Marudu, Tuaran, Kota Kinabalu, Papar, Kuala Penyu, Tenom, Sipitang, Nabawan, Tawau, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan, Beluran dan Kundasang.

"Setiap penggiliran catuan akan mengambil masa dua hingga tiga jam, manakala jadual catuan dijalankan antara 2 hingga 4 petang dan 6 hingga 8 malam," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan