AM

Yayasan Petronas Salur Sumbangan Aidilfitri Kepada Lebih 1,000 Keluarga Di Pantai Timur

21/03/2024 12:14 AM

KUALA TERENGGANU, 20 Mac (Bernama) -- Yayasan Petronas meneruskan khidmat masyarakat dengan menyalurkan bantuan barangan makanan asas kepada 1,350 keluarga asnaf di tiga negeri di Pantai Timur melalui program Memacu Kehidupan: Hari Raya Aidilfitri.

Pengurus Besar Petronas Pantai Timur Mohammad Ahmad Shazly Ramli berkata bantuan berkenaan termasuk beras, minyak masak, bihun, sardin, gandum dan gula selain barangan untuk keperluan hari raya seperti beras pulut, santan kotak, pes rendang, kekacang dan pes kuah kacang.

"Sebanyak 550 keluarga dari Kelantan dan masing-masing 400 keluarga dari Terengganu dan Pahang yang kurang berkemampuan terpilih menerima bantuan bernilai RM200 kali ini," katanya pada majlis penyerahan sumbangan program berkenaan kepada 400 keluarga dari Terengganu di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu Maliaman Kassim dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil.

Mohammad Ahmad Syazly berkata program berkenaan adalah sebahagian daripada fokus Yayasan Petronas ke arah pembangunan komuniti dan masyarakat sejahtera selari dengan agenda kelestarian Petronas dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurutnya, secara keseluruhan sebanyak 4,950 keluarga di seluruh negara akan menerima bantuan menerusi program itu.

 -- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan