IPOH, 16 Mac (Bernama) -- Sebanyak RM145.2 juta dana zakat negeri Perak diagihkan kepada lima kategori asnaf dengan peratus pencapaian keseluruhan sebanyak 90.76 peratus pada 2023.
Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dalam kenyataan melalui laman sosial Facebook memaklumkan kategori asnaf itu ialah fakir miskin, mualaf, ghorimin (orang yang berhutang), ibnu sabil dan fisabilillah.
"Asnaf fakir dan miskin merupakan tumpuan agihan zakat terbesar dengan jumlah agihan mencecah RM108 juta. Penerima agihan zakat kedua terbesar ialah asnaf fisabilillah iaitu RM29.9 juta," menurut kenyataan itu.
MAIPk menyebut matlamat mengurangkan jurang perbezaan sosioekonomi masyarakat terus dijadikan keutamaan bagi mengurangkan miskin tegar.
Menurut kenyataan itu, MAIPk mengupayakan golongan miskin tegar dan miskin yang dikenal pasti mempunyai minat dan potensi bagi menjalani latihan kemahiran dan kursus asas usahawan.
Program Pemerkasaan Ekonomi Asnaf (PROPER A) menurut MAIPk, telah berjaya membantu asnaf berpotensi memajukan diri dalam bidang keusahawanan dengan penyaluran bantuan modal dan latihan.
"MAIPk turut meneruskan program latihan dan penempatan kerjaya kepada golongan belia asnaf.
"Kejayaan peserta program bantuan lesen memandu percuma kelas E dan H dalam kalangan asnaf telah membantu sebahagian besar daripada mereka keluar daripada kepompong kemiskinan seterusnya meningkatkan pendapatan isi rumah," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial