AM

Majlis Ilmu Madani Lahirkan Masyarakat Cintai Ilmu, Fahami Konsep Adab Dan Akhlak

13/03/2024 10:45 AM

Oleh Mohd Ashraf Syafiq Mazlan

PUTRAJAYA, 13 Mac (Bernama) -- Tradisi penganjuran majlis ilmu MADANI di kediaman rasmi Perdana Menteri iaitu Kompleks Seri Perdana di sini, ialah jambatan untuk melahirkan masyarakat mencintai ilmu dan memahami konsep adab serta akhlak.

Majlis ilmu MADANI di Seri Perdana diilhamkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak memegang jawatan Perdana Menteri pada 24 Nov 2022, dan majlis seumpama itu kini turut diadakan di seluruh negara.

Menariknya, majlis berkenaan yang berlangsung pada 1 Mac lepas menampilkan tokoh serta ilmuan Islam terkenal seluruh dunia antaranya Presiden Institut Maqasid Global Prof Dr Jasser Auda, pemuzik tersohor British Yusuf Islam (sebelum ini dikenali sebagai Cat Stevens) dan Syeikh Muhammad Haydara al-Jilani, ulama asal Gambia. Majlis ilmu itu boleh diikuti melalui laman sosial Facebook rasmi Perdana Menteri. 

Berkongsi pengalaman berada pada majlis ilmu MADANI, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata penganjuran majlis itu adalah tepat kerana penekanan ilmu dan adab wajib dipelajari dan diamalkan bagi menerapkan nilai dalam pelbagai bidang termasuk kemampanan ekonomi dan kecerdasan buatan.

“Anjakan paradigma dari sudut pemikiran, nilai dan tadbir urus hanya akan dapat dicapai sekiranya masyarakat mencintai ilmu dan memahami konsep adab serta akhlak.

“Dengan adanya masyarakat yang memahami konsep ilmu dan adab, semua pihak dapat bersama-sama berganding bahu dalam membina sebuah negara yang baik,” katanya kepada Bernama.

Penganjuran majlis itu juga, katanya selari dengan usaha memberi kefahaman tentang maksud negara MADANI yang digagaskan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri kepada masyarakat.

“Hal ini kerana ia melibatkan nilai asas pembentukan negara MADANI iaitu akidah yang kukuh, akhlak baik serta pembentukan sahsiah maknawiyah bersama impian membina tamadun yang gemilang,” katanya. 

Selain itu, beliau berkata penganjuran majlis ilmu MADANI di Masjid Putra di sini seperti yang dilaksanakan pada Mei tahun lepas perlu diteruskan kerana ia dapat memperkasakan akhlak dan melahirkan masyarakat berpengetahuan.

“Penampilan tetamu kenamaan dalam memberi ceramah menarik minat ramai pihak untuk menyertai program itu,” katanya.

Pada 26 Mei 2023, lebih 18,000 umat Islam menghadiri Majlis Ilmu MADANI Bersama Perdana Menteri di Masjid Putra yang menampilkan kupasan dua tokoh ulama besar dunia Islam iaitu bekas Mufti Agung Mesir Syeikh Profesor Dr Ali Juma'ah Al Azhari serta Pengasas dan Pengetua Dar Al Mustofa di Tarim, Yaman iaitu Habib Umar Bin Muhammad Bin Salim Ben Hafidz.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan