AM

Prolintas, Miros Bekerjasama Tingkat Kesedaran Keselamatan Di Lebuh Raya

11/03/2024 11:20 PM

SHAH ALAM, 11 Mac (Bernama) -- Aktiviti simulasi memandu kenderaan dengan selamat antara pendekatan interaktif dilaksanakan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) menerusi kempen kesedaran keselamatan di lebuh raya yang dijalankan hujung minggu lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PROLINTAS Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata kempen pada 8-9 Mac lepas dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) itu bertujuan meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata antara aktiviti interaktif dan inovatif yang dijalankan menerusi karnival mini bertempat di Kawasan Rehat dan Rawat Elmina, Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) itu adalah demonstrasi keselamatan kanak-kanak di dalam kenderaan, simulasi menunggang basikal serta Selamat Sampai Sekolah atau 3S.

“Kami berbesar hati buat pertama kali dapat bekerjasama dengan MIROS, yang peranan penting institut itu dalam pendidikan dan kesedaran keselamatan jalan raya selari dengan matlamat syarikat kami. Menerusi jalinan strategik ini, kami berharap dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

“Kempen berkenaan juga selari dengan komitmen berterusan syarikat dalam memastikan keselamatan, keselesaan dan kemudahan pengguna lebuh raya terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan dan menambah program tersebut menyasarkan masyarakat sekitar dan pengguna lebuh raya pelbagai peringkat usia.

Mohammad Azlan berkata bergerak ke hadapan, PROLINTAS komited memperkukuh kerjasama dengan MIROS serta agensi lain dengan fokus terhadap teknologi dan inovasi keselamatan trafik.  

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan