EKONOMI

Scoot Akan Guna Pesawat Baharu Embraer Terbang Ke Enam Destinasi Asia Tenggara

05/03/2024 11:25 PM

SINGAPURA, 5 Mac (Bernama) -- Scoot, syarikat penerbangan tambang rendah Singapore Airlines (SIA), akan menggunakan pesawat baharu jenis Embraer E190-E2 untuk terbang ke enam destinasi di Asia Tenggara bermula Mei 2024, termasuk ke destinasi baharu, Sibu (Sarawak) dan Koh Samui (Thailand) .

Syarikat penerbangan itu berkata ia akan meningkatkan rangkaian penerbangannya ke 69 destinasi.

Scoot juga akan terbang dengan jet baharunya itu ke laluan sedia ada, Kuantan dan Miri di Malaysia serta Hat Yai dan Krabi di Thailand.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Leslie Thng berkata ini menandakan satu babak baharu pertumbuhan bagi syarikat penerbangan itu dan SIA Group, serta langkah penting dalam mengukuhkan kehadiran dan ketersambungannya di rantau ini.

“Pengembangan barisan pesawat kami mencerminkan keyakinan kami bahawa permintaan untuk perjalanan udara akan terus berkembang di rantau ini.

"Kami akan terus mencari peluang-peluang baharu dan melangkaui sempadan, untuk menghubungkan pelanggan kami ke lebih banyak destinasi pada nilai hebat di masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan.

Scoot berkata pesawat E2 pertama dijangka tiba di Singapura bulan depan dan akan mengambil alih penerbangan sedia ada Scoot ke Krabi dan Hat Yai mulai 7 Mei. Ia juga akan meningkatkan kekerapan penerbangan ke kedua-dua destinasi itu daripada tujuh kepada 10 kali seminggu.

Pesawat E2 kedua pula, juga dijadualkan untuk tiba pada April, yang akan membolehkan Scoot meningkatkan kekerapannya ke Miri dan Kuantan masing-masing daripada tiga kepada empat kali seminggu mulai 20 Mei dan 3 Jun, serta melancarkan penerbangan tiga kali seminggu ke Sibu mulai 5 Jun.

Penerbangan harian ke Koh Samui akan bermula dari 13 Mei dan kekerapannya akan ditingkatkan secara berperingkat kepada dua kali sehari mulai awal Jun.

Penjualan bagi tiket penerbangan menggunakan pesawat E190-E2 akan tersedia secara berperingkat melalui laman web Scoot, aplikasi mudah alih dan saluran-saluran lain, dengan tambang untuk semua termasuk cukai bagi kelas ekonomi bermula daripada S$172 (S$1=RM3.52) ke Koh Samui dan S$72 ke Sibu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan