KUALA LUMPUR, 29 Feb (Bernama) -- Kerjaya Prospek Group Bhd kekal optimis terhadap pertumbuhan industri pembinaan selepas pandemik COVID-19, walaupun berdepan cabaran seperti kenaikan harga bahan mentah.
Pengerusi Bukan Eksekutif Bukan Bebas Datuk Tee Eng Ho melahirkan keyakinan bahawa projek pembinaan kini mampu bergerak dengan lebih pantas berikutan situasi semasa yang semakin pulih, disokong oleh peningkatan tenaga kerja.
"Kekurangan buruh tidak lagi membimbangkan dengan kemasukan buruh asing, tetapi kami tidak bercadang untuk menambah lebih ramai pekerja buat masa ini,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas prospek semasa industri pada taklimat keputusan Kerjaya Prospek di sini hari ini.
Beliau berkata syarikat itu kini mempunyai jumlah tenaga kerja seramai 7,000 orang, termasuk 3,000 subkontraktor.
Tee turut mengumumkan usaha sama dengan Samsung C&T Corporation melalui syarikat konsortium, Samsung-KP JV, yang memberi tumpuan kepada pembinaan kilang di Malaysia dan peluang dalam projek pembangunan Pulau Andaman di Pulau Pinang, dianggarkan bernilai kira-kira RM2 bilion.
Sementara itu, dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Kerjaya Prospek mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi berjumlah RM132.29 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2023 (tahun kewangan 2023) daripada RM114.79 juta pada tahun kewangan 2022.
Hasil meningkat kepada RM1.46 bilion pada tahun kewangan 2023 berbanding RM1.12 bilion setahun lepas.
Kumpulan itu berkata hasil yang lebih tinggi dipacu oleh pengiktirafan hasil yang lebih tinggi daripada peningkatan ketara dalam segmen pembangunan hartanah dan pembinaannya.
Bagi suku keempat tahun kewangan 2023, keuntungan bersih syarikat melonjak kepada RM35.74 juta daripada RM27.59 juta pada suku keempat 2022, dengan hasil meningkat kepada RM489.04 juta daripada RM285.26 juta sebelum itu.
Peningkatan ini didorong oleh peningkatan pengiktirafan hasil daripada segmen pembinaan dan sumbangan daripada segmen pembangunan hartanah, iaitu projek The Vue @ Monterez berjumlah RM10.6 juta pada suku keempat 2023, katanya.
Pada masa hadapan, Kerjaya Prospek menjangkakan mendapat sokongan daripada projek dalam pembinaannya setakat 31 Dis, 2023 dengan nilai perolehan tertunggaknya berjumlah RM4.2 bilion.
Ia akan menumpukan usaha untuk menyatukan segmen pembinaannya sebagai pemacu hasil utama dan memperkukuh segmen pembuatannya bagi melengkapkan perniagaan pembinaan terasnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif kumpulan Tee Eng Tiong turut memaklumkan perkembangan projek Papyrus @ North Kiara, yang akan dilancarkan pada separuh pertama 2024 dengan anggarkan nilai pembangunan kasar RM500 juta dan menjangkakan ia meningkatkan hasil bahagian pembangunan hartanah kumpulan.
Syarikat itu turut mengisytiharkan dividen interim satu peringkat keempat sebanyak 2.0 sen sesaham untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023, yang perlu dibayar pada 5 April 2024.
Jumlah dividen yang diisytiharkan untuk 2023 berjumlah 8.0 sen sesaham, dengan pembayaran berjumlah RM100.9 juta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial