KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Capital A Bhd telah memuktamadkan perjanjian dengan Aetherium Acquisition Corp yang juga syarikat pemerolehan tujuan khas (SPAC), bagi penyenaraian Capital A International (CAPI) di pasaran awam Amerika Syarikat (AS).
Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu berkata di bawah terma urus niaga yang dicadangkan, CAPI akan bergabung dengan Aetherium dan menjadi entiti dagangan awam.
Urus niaga terbabit mencerminkan anggaran nilai perusahaan proforma sebanyak US$1.15 bilion bagi CAPI.
"Walaupun Lembaga Pengarah CAPI dan Aetherium secara sebulat suara meluluskan transaksi terbabit, ini masih tertakluk kepada kelulusan pemegang saham Aetherium dan syarat-syarat khusus lain," katanya.
Menurut Capital A, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tan Sri Tony Fernandes yang dikenali kerana mengambil alih AirAsia pada 2001 dan mengubahnya sebagai syarikat penerbangan global, akan menerajui CAPI.
Sementara itu, Fernandes berkata AirAsia telah melonjak daripada sebuah syarikat penerbangan kecil Malaysia kepada jenama penerbangan dan pengembaraan global bernilai lebih US$1 bilion dan membolehkan Capital A membangunkan portfolio merangkumi penerbangan, perkhidmatan penerbangan, logistik dan syarikat digital dalam fintech, perjalanan serta hospitaliti.
"Evolusi jenama AirAsia telah mewujudkan pangkalan pengguna global yang setia dan meletakkan kami di kedudukan baik untuk mengembangkan jenama di peringkat antarabangsa melalui CAPI.
“Penyenaraian ini turut memberi kami akses kepada pasaran modal lebih besar, meningkatkan kredibiliti dan kehadiran antarabangsa syarikat selain memberi nilai kepada pemegang saham,” katanya.
Selain AirAsia, beliau berkata CAPI memegang hak harta intelek untuk 14 jenama terkenal dan lebih 224 cap dagang merangkumi 23 negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial