AM

Kpkm Optimis Dapat Kemuka Penyelesaian Isu Padi, Beras Seperti Diarah PM

28/02/2024 09:39 AM

BANGI, 28 Feb (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) optimis dapat mengemukakan cadangan dan perincian bagi mencari penyelesaian isu padi dan beras negara pada 20 Mac ini seperti yang diarahkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata KPKM akan bekerjasama dengan kementerian lain untuk mendapatkan pandangan sebelum memuktamadkan sebarang cadangan.

"Isu padi dan beras, kita tidak boleh bertindak silo, bukan saja KPKM, ia mesti dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, kerana sebarang pengumuman itu bersangkut dengan beberapa kementerian lain.

"Sebab itu bila kita nak buat sesuatau macam apungkan harga ayam, kita berbincang termasuk dengan penternak, pengedar, penjual dan akhirnya baru diumumkan kita apungkan harga ayam.

"Jadi, semua pihak dalam pengetahuan mereka. Begitu juga dengan harga beras, ia lebih rumit kerana bersangkut dengan beras import, beras putih import, beras putih tempatan, beras beriani (basmati) dan sebagainya," katanya kepada media selepas menghadiri Simposium Peladang Muda Nasional 2024 Sempena Ulang Tahun Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) ke-51 di sini malam tadi.

Mohamad berkata KPKM akan mengadakan perbincangan bersama agensi-agensi terlibat terlebih dahulu, sebelum turun ke bawah untuk mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan seperti pesawah, pengilang dan sebagainya.

"Ada yang tanya, adakah selesai segala-galanyanya 20 Mac ini? Tidak, ini langkah awal dan kita akan lihat dari pelbagai aspek," katanya.

Jumaat lepas,  Anwar dalam kenyataan telah meminta KPKM untuk mengetuai dan menyelaras sesi libat urus mengenai isu padi dan beras secara lebih terperinci dan sesegera mungkin.

Beliau berkata libat urus berkenaan perlu mengambil kira harga belian padi, faktor bekalan, harga beras import dunia, kemampanan bekalan beras tempatan serta kesan kepada pengguna.

Ahad lepas, Anwar juga berkata KPKM dan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) diberi tempoh hingga 20 Mac untuk memuktamadkan isu berkaitan harga padi dan beras.

Sementara itu, Mohamad berkata peladang muda perlu sentiasa cakna dengan dasar kerajaan terutamanya yang melibatkan sektor pertanian.

Beliau berkata banyak bentuk bantuan, insentif dan program telah diperkenalkan oleh kerajaan menerusi KPKM dalam usaha menggalakkan golongan muda untuk terlibat dalam sektor berkenaan.

"Selain bantuan bersifat kewangan, kerajaan juga menyediakan banyak latihan dan khidmat nasihat membabitkan golongan muda bagi menimba pengetahuan dan kemahiran dalam industri pertanian.

"Segala bentuk insentif dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan akan jadi sia-sia sekiranya golongan muda tidak cakna mengenainya," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan