KANGAR, 27 Feb (Bernama) -- Anakanda menantu lelaki Raja Perlis dan Raja Perempuan Perlis, Datuk Paduka Haji Mohammad Yaacob Datuk Seri Azizul Hassan, 58, meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini pagi semalam.
Istana Arau dalam kenyataan hari ini memaklumkan Allahyarham yang merupakan suami kepada anakanda baginda berdua, Tengku Puteri Mahkota Perlis Datuk Seri Hajah Sharifah Fazira Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, meninggal dunia pada 7.26 pagi akibat komplikasi buah pinggang.
"Pengurusan mandi jenazah telah berjalan dengan lancar dan diuruskan di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, Kangar.
“Para kerabat diraja serta tetamu memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham di bilik perpustakaan masjid tersebut dan disusuli dengan solat jenazah sejurus selepas solat zohor yang diimamkan oleh Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin,” menurut kenyataan itu.
Turut berangkat Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid selain Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda-anakanda baginda berdua Sharifah Khatreena Nuraniah, Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail
Upacara pengebumian jenazah Allahyarham di Makam DiRaja Arau selesai kira-kira 4.15 petang semalam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial