AM

Konsert 'choii Underground Music Tour Kedah 2.0' Tiada Permit - Exco

26/02/2024 09:54 AM

ALOR SETAR, 26 Feb (Bernama) -- Kerajaan Kedah, menerusi mana-mana agensi di bawah pentadbirannya, tidak pernah memberi permit atau kelulusan untuk mengadakan konsert Choii Underground Music Tour Kedah 2.0, yang diadakan di Taman Jubli Emas di sini, pada malam Nisfu Syaaban, Sabtu lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri Mansor Zakaria berkata memang terdapat permohonan dikemukakan kepada kerajaan negeri, namun dalam permohonan itu tidak dinyatakan langsung mengenai cadangan konsert atau pertunjukan pentas seumpama itu.

“Kerajaan negeri mengambil maklum mengenai kontroversi yang melibatkan konsert berkenaan. Bagaimanapun, penganjur memohon untuk mengadakan karnival jualan dan acara-acara yang dibenarkan mengikut garis panduan kerajaan negeri sahaja, dan permohonan itu yang telah diluluskan.

“Justeru penganjuran konsert ialah tanpa kebenaran mana-mana agensi kerajaan negeri dan ini satu pelanggaran syarat yang sangat serius oleh pihak penganjur. Kerajaan negeri akan memanggil penganjur untuk mendapatkan penjelasan berkaitan dengan perkara ini dan akan memutuskan tindakan susulan mengikut undang-undang,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Mansor berkata mana-mana pihak yang melanggar syarat setelah diberikan kelulusan untuk menganjurkan sesuatu acara, akan disenarai hitam daripada terlibat dalam apa juga program di negeri itu pada masa akan datang.

Isu itu tercetus apabila penganjuran konsert yang diadakan di Taman Jubli Emas itu mendapat pelbagai reaksi netizen di laman sosial, kerana tidak menghormati malam Nisfu Syaaban yang jatuh pada hari yang sama.

Susulan itu, penganjur acara Choii Underground Music Tour Kedah 2.0 dikenali sebagai Faris Azrii, tampil memohon maaf melalui sebuah video melalui laman TikToknya.

Beliau berkata isu yang berlaku pada malam Nisfu Syaaban itu atas kesilapan pihaknya, yang terlepas pandang tentang perkara tersebut dan tidak melibatkan mana-mana badan kerajaan.

“Memang salah pihak kami. Ia tidak melibatkan mana-mana kerajaan dan saya betul-betul mohon maaf kepada kerajaan Kedah. Mengenai isu terkinja-kinja dan melompat-lompat itu juga saya mohon maaf, kerana saya membawa hip-hop ke bumi Kedah, tapi ini kejadian pada hari Jumaat bukan Sabtu. Tapi kita juga adakan konsert dan itu kesalahan di pihak kami juga,” kata Faris.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan