DUNIA

Sesi Luar Biasa Icim Bincang Maklumat Palsu, Permusuhan Terhadap Wartawan Di Palestin

25/02/2024 01:24 AM

Daripada Nur Adila Abdul Wahab

ISTANBUL, 24 Feb (Bernama) -- Sesi Luar Biasa Persidangan Menteri-menteri Penerangan Islam (ICIM) bermula hari ini untuk membincangkan usaha bersama menentang maklumat palsu dan ancaman daripada pihak berkuasa Israel terhadap wartawan dan agensi media di wilayah Palestin yang diduduki.

Sesi dimulakan dengan ucapan perasmian oleh Presiden Direktorat Komunikasi Turkiye Fahrettin Altun, diikuti oleh kenyataan daripada Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Penerangan Palestin Nabil Abu Rdeneh.

Delegasi Malaysia diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa. 

Sesi berkenaan kemudian diikuti oleh kenyataan yang disampaikan oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Hissein Brahim Taha, yang meminta lebih banyak ruang diberikan kepada wartawan dan agensi media untuk membuat liputan semua perkembangan yang berkaitan dengan isu Palestin.

Terdahulu, Sesi Luar Biasa ICIM bermula pada 9 pagi (waktu tempatan) dengan mesyuarat tertutup Pegawai Kanan Persediaan kepada Sesi Luar Biasa ICIM bagi negara anggota OIC.

Sementara itu, Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan menerusi mesej video yang dipaparkan pada persidangan itu, memberikan penghargaan kepada semua wartawan yang berani bersuara bagi golongan tertindas di Palestin dan mendoakan semoga Allah SWT memberi rahmat kepada mereka yang telah meninggal dunia.

Beliau berkata Israel telah menggunakan pengaruhnya dalam saluran media global dan pada masa sama, menyegerakan aktiviti penyebaran maklumat palsu dan menggunakan segala kaedah yang ada untuk menyembunyikan jenayah perang serta jenayah terhadap kemanusiaan termasuk penyelewengan fakta dan propaganda.

"Dengan pandangan ini, satu daripada tanggungjawab kita sebagai negara Islam ialah memastikan bahawa pembohongan ini tidak mengatasi kebenaran. Satu daripada tanggungjawab penting kita ialah mendokumentasikan dan menghebahkan kekejaman yang dilakukan terhadap saudara kita di Gaza, serta memerangi usaha pemalsuan maklumat oleh Israel," katanya.

Sejumlah 199 peserta dari 42 negara menghadiri persidangan sehari yang dianjurkan OIC, dan Turkiye menjadi tuan rumah persidangan itu dalam kapasiti sebagai Pengerusi sesi ICIM pada masa ini.

Israel telah menyerang Semenanjung Gaza sejak 7 Okt 2023, membunuh lebih 29,000 orang dan mengakibatkan kemusnahan berskala besar dan kekurangan bekalan barangan keperluan yang mencetuskan krisis kemanusiaan di Gaza.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan