KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Aplikasi komuniti perniagaan GM Klang yang dilancarkan lebih setahun lalu akan mengadakan program ‘GMK Wow Day’ yang memberikan kelebihan kepada pengguna-pengguna aplikasi berkenaan, yang berdaftar sebagai ahli premium.
Program itu yang merupakan singkatan daripada ‘GM Klang Wholesale on Weekend Day’, diadakan pada hujung minggu pertama iaitu Sabtu dan Ahad, setiap bulan bermula pada Mac depan, dengan menampilkan dua ganjaran istimewa buat ahli-ahli premium.
Pengurus Kanan Komunikasi Jenama GM Klang Norsuhaida Othman berkata menerusi program itu, ahli-ahli premium berpeluang membeli pelbagai produk yang ditawarkan oleh kedai-kedai yang mengambil bahagian dengan harga istimewa iaitu yang jauh lebih murah dari harga biasa atau dalam talian.
“Lebih menarik lagi, mereka juga akan meraih e-baucar bernilai RM10 untuk setiap perbelanjaan RM100 di mana-mana kedai terpilih menerusi ‘GMK Wow Voucher’. Kedua-dua kelebihan ini hanya boleh dinikmati pada dua hari berkenaan (setiap bulan) ketika program itu berlangsung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata GMK Wow Day dilihat sebagai satu program lestari yang memberi impak kepada pemborong dan juga pelanggan, selain dapat menstabilkan transaksi perniagaan melalui faedah bersama yang menguntungkan kedua-dua pihak.
Norsuhaida berkata program itu juga disifatkan sebagai ‘membership day’ yang memberi kelebihan istimewa kepada pelanggan setia untuk menerima pelbagai manfaat.
“Pengguna akan menerima kod QR khas melalui aplikasi setelah mendaftar sebagai ahli premium dan mereka hanya perlu menunjukkannya di kedai-kedai terpilih sebelum membuat pembelian. Baucar akan muncul di dalam aplikasi secara automatik setelah proses pengimbasan dilakukan,’’ katanya.
Selain itu, faedah menarik lain yang akan diberikan untuk ahli premium termasuk e-baucar bernilai RM10, parkir percuma di GM Klang dan pelbagai ganjaran menerusi kempen-kempen yang telah diatur dari semasa ke semasa.
Aplikasi Komuniti Bisnes GM Klang boleh dimuat turun melalui ‘App Store’ dan ‘Google Play Store’.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial