AM

Tun Taib Mahmud Meninggal Dunia

21/02/2024 08:13 AM

KUCHING, 21 Feb (Bernama) -- Bekas Yang Dipertua Negeri dan Ketua Menteri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud, 87, meninggal dunia di sebuah hospital di Kuala Lumpur awal pagi ini.

Perkara itu disahkan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Setiausaha Sulit kepada Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib, Nurr Shaffique Abdul Karim turut mengesahkan berita tentang pemergian Abdul Taib.

“Kembalinya ayahanda Hanifah Hajar Taib yang dikasihi, Tun Abdul Taib kepada penciptanya kira-kira 4.40 pagi tadi.

“Pengurusan jenazah akan dilakukan di Masjid Negara, Kuala Lumpur sebelum dibawa balik ke Kuching, Sarawak,” katanya menerusi hantaran di laman media sosial milik Hanifah Hajar pagi ini.

Dilahirkan pada 21 Mei 1936, Abdul Taib merupakan perancang utama yang mencorakkan pembangunan Sarawak, apabila menerajui kepimpinan negeri sebagai Ketua Menteri selama 33 tahun sebelum ini.

Beliau secara rasmi dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak yang ketujuh menggantikan Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng pada 1 Mac 2014.

Setelah hampir 10 tahun memegang jawatan itu, Abdul Taib digantikan Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri pada 29 Jan lepas. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan